Misi bantuan Malaysia ke Gaza tambah lagi 10 kontena, keseluruhan 110 kontena
Afiezy Azaman
Mei 6, 2024 23:22 MYT
Mei 6, 2024 23:22 MYT
KAHERAH: Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza menerima penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena yang akan dihantar ke enklaf terkepung itu.
Menurut ketua misinya, Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby, penambahan 10 kontena awal itu melibatkan 200 tan barangan keperluan asas yang akan dihantar melalui persimpangan Rafah ke utara Gaza yang kini keluarga di sana berhadapan dengan kebuluran.
"Kuantiti keseluruhan barang adalah 30 buah yang melibatkan 15 jenis barangan asas seperti beras, tepung, minyak masak, tuna serta barangan kit kebersihan diri.
"Satu kotak itu membolehkan sebuah keluarga di Gaza bertahan sehingga tiga minggu di dalam situasi perang kerana makanan terpaksa dicatu.
"Kesemua 110 kontena dengan nilai RM12 juta boleh memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di Gaza," katanya kepada pemberita di Kaherah, pada Isnin.
Misi kemanusiaan kecemasan yang digerakkan enam badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) itu akan dibantu dengan inisiatif hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir.
Gaza, anda tidak keseorangan
Sani Araby berkata, selain bantuan makanan, terdapat juga mesej kata-kata semangat yang ditulis di kesemua kotak bantuan yang disediakan untuk rakyat Palestin.
"Kita sebutkan 'Gaza, you are not alone, from the people of Malaysia'. Mesej itu kita cuba sampaikan sebaik mungkin kerana rakyat Gaza secara moralnya berada dalam keadaan kritikal akibat berhadapan dengan perang selama berbulan-bulan yang terpanjang dalam sejarahnya.
"Ini adalah misi yang digerakkan oleh Malaysia bagi fasa keenam dan sebelum ini lima misi telah digerakkan melalui Ops Ihsan yang mana MAPIM juga adalah sebahagian daripadanya.
"Ops Ihsan sebelum ini telah melalui tiga bantuan melalui udara manakala masing-masing satu melalui jalan darat Kaherah serta laut.
Hubungan rapat kerajaan lancarkan misi
Dalam pada itu, Sani Araby berkata, inisiatif antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) akan membantu kelancaran misi seperti menguruskan semua prosedur termasuk kemasukan barangan bantuan ke Rafah yang agak sukar dan ketat.
"Kita cuba untuk melakukan penjimatan kos dengan membeli segala barangan asas di Mesir dan aspek logistik sahaja yang perlu diketengahkan dengan sokongan Wisma Putra, Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
"Kita dapat melancarkan laluan itu kerana melibatkan kepimpinan dua negara dan inilah resepi yang kita akan aplikasikan untuk penghantaran 100 kontena kerana akhirnya semua bantuan perlu sampai ke tangan rakyat Gaza," ujarnya.
Risiko tetap ada tetapi mesej kepada dunia perlu disampaikan
Sani Araby berkata, misi ini berdepan pelbagai risiko khususnya sifat rejim Israel yang melakukan pembantaian tidak mengira fahaman agama atau bangsa.
"Kakitangan World Central Kitchen (WCK) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dibunuh, konvoi bantuan dari Jordan juga diserang.
"Cuma dari Kaherah sehingga ke Rafah kita telah membuat koordinasi yang bertepatan untuk memastikan laluan ini selamat kerana kita tidak mahu kontena-kontena ini terkandas. Kita mempunyai pengalaman lalu yang mana Alhamdulillah, bantuan kita hantar semuanya sampai ke tangan rakyat Palestin.
"Saya berharap doa daripada rakyat Malaysia yang menjadi senjata untuk melancarkan misi dan kita perlu laksanakan sokongan untuk memberi mesej kepada seluruh kepimpinan dunia bahawa kejahatan dibuat Israel perlu dinoktahkan," katanya.