Misi bantuan Lubnan: Cyprus sumbang 70 tan makanan, ubatan
Astro Awani
Ogos 12, 2020 08:39 MYT
Ogos 12, 2020 08:39 MYT
LUBNAN yang terkesan akibat letupan besar ammonia nitrat di Beirut pada 4 Ogos lalu terus menerima bantuan kemanusiaan daripada pelbagai pihak.
Terbaharu, rakyat Cyprus menerusi gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar 70 tan bantuan awal seperti makanan, peralatan perubatan dan generator elektrik kepada negara itu.
Bantuan yang dihantar menggunakan kapal pengangkut tentera laut itu dijangka tiba di negara itu hari ini (Rabu).
Ahad lalu, Presiden Cyprus Nicos Anastasiades berkata, beliau sedia membenarkan lapangan terbang serta perairan negara itu digunakan oleh mana-mana negara bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusian ke Lubnan.
Cyprus adalah antara negara Eropah yang paling dekat dengan Lubnan, iaitu kira-kira 207 kilometer dari kota Beirut.
Letupan yang menggegarkan Beirut itu membunuh hampir 200 orang dan mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar.
Punca letupan tidak diketahui dengan jelas tetapi pegawai mengaitkan letupan itu dengan 2,750 tan ammonium nitrat yang dirampas dan disimpan di gudang di pelabuhan Beirut selama enam tahun.
#ammonium nitrat
#bantuan
#beirut
#Cyprus
#gudang
#kemanusian
#lapangan terbang
#lebanon
#letupan
#lubnan
#NGO
#pelabuhan
#perairan
#perubatan
#rakyat
#tentera