Militan IS muat naik senarai 'hit list' di laman sosial

Shamil Hizamie
Ogos 13, 2015 11:10 MYT
Lapan rakyat Australia turut berada dalam senarai buruan militan IS yang dimuat naik di laman sosial. - Gambar Fail
Kumpulan militan IS dilaporkan telah mengeluarkan senarai ‘hit list’ mereka atau orang yang menjadi sasaran untuk dibunuh, selain menggesa pembunuhan serta merta terhadap individu yang disenaraikan.
Senarai berkenaan diperoleh kumpulan pengganas itu selepas dikatakan berjaya menggodam fail kerajaan Amerika Syarikat. Maklumat yang didapati meliputi nama, alamat emel, nombor telefon, alamat rumah serta kata laluan lebih daripada 100 individu.
Memetik laporan news.com.au, lapan rakyat Australia turut berada dalam senarai terbabit. Mereka adalah Pegawai Pertahanan Australia, para penjawat awam dari Jabatan Kesihatan Negeri dan Ahli Parlimen Victoria yang menetap di Sydney.
Senarai yang dimuat naik di laman sosial itu turut memuatkan nama beberapa individu yang berkhidmat untuk Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Para pengodam yang menggelarkan diri mereka dari Bahagian Godaman IS itu turut memuatkan mesej berbaur amaran.
"Kami sentiasa melihat dan merakam setiap langkah kerana mempunyai akses kepada emel dan sistem komputer anda,
“Kami turut mempunyai nama dan alamat. Para pejuang khalifah akan memburu anda di bumi anda sendiri,” jelas mesej itu.
Menteri Pencegahan Pengganas Australia, Michael Keenan akan bertemu dengan pihak terbabit di Australia pada pagi Khamis bagi membincangkan perkara itu.
Menurut jurucakap rasmi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon, cubaan godaman telah dilakukan oleh militan IS namun ianya tidak berjaya. Kumpulan pengganas itu berkemungkinan mengodam sistem komputer bukan milik kerajaan.
Difahamkan hampir kesemua rakyat Australia yang menjadi sasaran tidak menyedari bahawa nama mereka telah dimasukkan dalam senarai ‘hit list’ itu sehingga diberitahu oleh media.
#hit list #ISIS #militan #pengganas #pengodam
;