Militan guna hospital serang markas tentera di Narathiwat, tujuh askar Thai cedera

Bernama
Mac 14, 2016 08:04 MYT
Drama tembak-menembak itu berlangsung selama satu jam dengan tujuh daripada anggota pasukan keselamatan di Markas Renjer ke-4816 cedera termasuk tiga daripadanya parah. - Foto BERNAMA
Tujuh anggota pasukan keselamatan Thai cedera apabila sekumpulan militan bertindak nekad menggunakan bangunan Hospital Jok Irong, Narathiwat untuk menyerang sebuah markas tentera berhampiran.
Ketua Polis Jok Irong, Kol Prawit Shoseng berkata, drama tembak-menembak antara sekumpulan militan dan anggota pasukan keselamatan bermula pada 3.55 petang (waktu tempatan) dengan serangan terhadap stesen kereta api daerah itu.
"Tidak lama selepas kejadian pertama pada 3.55 petang, 10 anggota militan yang menyamar sebagai orang awam memasuki hospital daerah itu dan mula melepaskan tembakan terhadap markas yang terletak di belakang hospital," katanya kepada media hari ini.
Drama tembak-menembak itu berlangsung selama satu jam dengan tujuh daripada anggota pasukan keselamatan di Markas Renjer ke-4816 cedera termasuk tiga daripadanya parah.
Prawit berkata anggota militan terbabit turut menahan beberapa pekerja hospital dan mengikat mereka serta memusnahkan beberapa kelengkapan bangunan dalam usaha untuk melarikan diri.
Selepas pertempuran berakhir, pasukan keselamatan menemui kira-kira 500 kelongsong peluru rifel AK-47 dan M-16 di bangunan hospital berkenaan yang menunjukkan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, kesemua pekerja hospital terbabit tidak dicederakan dan dibebaskan manakala kesemua anggota militan melarikan diri.
Menurut Prawit, kira-kira 5.20 petang sebutir bom buatan sendiri turut diletupkan di sebuah jambatan berhampiran ketika pasukan keselamatan cuba memasuki lokasi kejadian tembak-menembak.
Beliau berkata, polis percaya kejadian serangan nekad itu adalah berkait-rapat dengan sambutan ulang tahun penubuhan kumpulan militan, Barisan Revolusi Nasional (BRN) pada 13 Mac 1960.
Sebutir bom juga dilaporkan meletup di Sungai Padi malam tadi tetapi tiada kecederaan dilaporkan manakala sebuah markas tentera di daerah Benang Seta, Yala diserang tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan.
Beberapa siri kejadian tembakan turut dilaporkan di daerah Muang Yala dan Yaha malam tadi, juga tanpa mengakibatkan kecederaan.
#Jok Irong #Kol Prawit Shoseng #militan #tembak-menembak
;