Militan IS dakwa penggal 21 penganut Kristian Mesir
AFP
Februari 16, 2015 10:36 MYT
Februari 16, 2015 10:36 MYT
Kumpulan militan IS di Libya telah mendedahkan sebuah video pada Ahad yang didakwa memaparkan pemenggalan kepala lebih 20 penganut Kristian Koptik Mesir.
Rakaman video itu menunjukkan barisan 21 tebusan yang digari serta memakai sut penjara berwarna oren dipenggal kepala di sebuah kawasan pantai dipercayai di wilayah Tripoli di Libya.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dalam reaksinya terhadap pembunuhan itu mengancam “pembalasan setimpal” terhadap kumpulan pengganas tersebut.
Beliau dalam pada itu turut mengisytiharkan perkabungan negara selama tujuh hari susulan pendedahan video itu di media sosial.
Gereja Koptik, yang mengesahkan mangsa yang dipenggal adalah jemaahnya, mengeluarkan kenyataan bahawa ia yakin kumpulan pembunuh itu akan dihukum, manakala Universiti Al-Azhar mengecam pembunuhan itu sebagai perbuatan “kejam.”
Saluran televisyen Mesir menyiarkan hanya sebahagian daripada rakaman video tersebut yang menunjukkan tebusan berjalan dalam barisan di tepi pantai, tanpa paparan pembunuhan mereka.