MILF tidak lagi percaya pada pentadbiran Aquino

Agensi
Mac 14, 2015 18:08 MYT
Pendirian MILF tetap tidak berganjak daripada pelan asal perjanjian autonomi dalam proses perdamaian dengan pemerintah Filipina. - Gambar fail
Kepercayaan kumpulan gerila terbesar Filipina terhadap pemerintah negara kepulauan itu berkurangan semenjak insiden pertembungan pada Januari lalu yang menyaksikan 44 anggota polis komando dan 18 pejuang kumpulan mereka terkorban.
Kenyataan tersebut dibuat oleh pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Ebrahim Murad kepada media di pangkalannya di Pulau Mindanao.
Keganasan tersebut secara tidak langsung telah menjejaskan proses damai yang bertujuan menamatkan konflik selama 45 tahun yang telah mengorbankan 120,000 orang dan membantutkan pembangunan di wilayah selatan negara tersebut yang kaya dengan pelbagai sumber.
Rakyat secara umumnya marah pada cara Presiden Benigno Aquino mengendalikan isu tersebut hingga menyebabkan kematian ramai anggota polis. Insiden itu dianggap sebagai krisis politik paling teruk buatnya.
“Kepercayaan telah terjejas. Kami sedang mengkaji sekiranya kebenaran operasi polis ketika itu datang dari pimpinan tertinggi pemerintah,” ujar Ebrahim.
Dalam insiden berdarah pada 25 Januari lalu, situasi berbalas tembakan tercetus apabila pihak polis cuba menyusup masuk kawasan yang dikawal MILF untuk menangkap suspek pembuat bom yang dikaitkan dengan al-Qaeda, Zulkifli Hir.
Pemerintah Filipina yang mengakui insiden itu satu kesilapan menyeru agar proses perdamaian terus berlangsung.
Pihak polis menyatakan bahawa Aquino yang memberi lampu hijau dalam misi tersebut manakala Aquino berkata dia telah diberi maklumat yang salah.
Walau bagaimanapun, insiden itu telah merencatkan usaha para penggubal undang-undang yang mengusahakan proses perjanjian autonomi.
"Berdasarkan siasatan kami, ia bukanlah satu kesilapan atau tidak disengajakan. Polis telah menyerang komuniti dan angkatan pejuang kami,” ujar Ebrahim yang menambah bahawa pihak polis melihat kumpulan pejuangnya sebagai musuh.
Begitupun, kumpulan MILF dikatakan komited untuk menyambung proses perdamaian dan bekerjasama dengan pemerintah baharu sekiranya rundingan tersebut berlanjutan sehingga selepas penggal pentadbiran Aquino.
“Presiden yang dilantik selepas ini perlu bertanggungjawab melaksanakan perjanjian damai,” tegasnya yang tidak mahu berganjak daripada pelan asal autonomi.
#Barisan Pembebasan Islam Moro #ebrahim murad #Filipina #MILF #presiden benigno aquino
;