Mikhail Popkov, pembunuh bersiri terbesar Rusia
APTN
Januari 12, 2018 05:51 MYT
Januari 12, 2018 05:51 MYT
Seorang bekas anggota polis di Rusia dibicarakan di mahkamah bandar Siberia kerana didakwa telah membunuh 60 orang wanita.
Mikhail Popkov yang berasal dari bandar Siberia di timur Angarsk telah ditahan pada tahun 2012 dan dihukum penjara seumur hidup kerana mengaku membunuh 22 orang wanita.
Bagaimanapun semasa berada dalam tahanan, Popkov mengakui telah membunuh 20 yang lain.
Polis tempatan di Rusia telah menjalankan siasatan bertahun-tahun bagi menyiasat banyak kes pembunuhan di Irkutsk yang menyaksikan berpuluh-puluh wanita mati dirogol dan dibunuh di kawasan-kawasan terpencil.
Seorang pegawai penyiasat Rusia, Yevgeny Karchevsky mendakwa suspek berusia 53 tahun ini telah melakukan sekurang-kurangnya 84 pembunuhan mensasarkan wanita dari latar belakang berbeza berumur dari usia 16 hingga 40 tahun.
Tuduhan terbaharu terhadap Popkov termasuk 60 tuduhan membunuh dan ini menjadikannya sebagai pembunuh bersiri terbesar di Rusia.
Pihak pendakwa membaca kertas pertuduhan pada Rabu lepas dan menangguhkan pendengaran sehingga Isnin depan.
Ujian psikiatrik juga telah dijalankan ke atas Popkov dan hasil keputusan menunjukkan bahawa dia seorang yang waras.