Microsoft Word, Excel dan PowerPoint kini sokong ciri Apple Handoff

Amanz
Oktober 24, 2024 15:00 MYT
Microsoft kini menyokong ciri Handoff untuk aplikasi Word, Excel, dan PowerPoint, membolehkan pengguna menyambung tugasan antara peranti Apple. -Amanz
APPLE Handoff adalah antara ciri yang paling berguna dalam ekosistem Apple. Ia adalah satu ciri continuity yang membolehkan pengguna menyambung tugasan dari satu peranti ke peranti yang lain.

Ringkasan AI
  • Microsoft kini menyokong ciri Handoff untuk aplikasi Word, Excel, dan PowerPoint, membolehkan pengguna menyambung tugasan antara peranti Apple.
  • Ciri ini berfungsi jika anda menggunakan akaun iCloud yang sama pada semua peranti Apple dan menyimpan dokumen di OneDrive atau SharePoint.
  • Selepas mengaktifkan Handoff dalam tetapan iOS, ikon telefon akan muncul pada aplikasi yang menyokong ciri ini, menunjukkan ia boleh digunakan.

Sebagai contoh, anda boleh mula menaip nota pada iPhone dan menyambungnya pada MacBook, atau menyalin teks dari iPad untuk ditampal pada iPhone.
Terbaharu, Microsoft telah mengumumkan sokongan Handoff untuk aplikasi Word, Excel, dan PowerPoint.
Walaupun Handoff bersifat universal, seperti membolehkan anda menyalin teks pada WhatsApp di iPhone dan menyambungnya pada kebanyakan aplikasi dalam macOS, tidak semua tugasan dari aplikasi di iPhone boleh disambung pada aplikasi macOS atau iPadOS.
Jika anda menggunakan akaun iCloud yang sama pada Microsoft Word, Excel, dan PowerPoint di semua peranti Apple anda, ciri ini boleh digunakan dengan mudah.
Anda boleh menyunting fail Word di iPhone dan menyambungnya dalam Word pada MacBook, atau dengan Excel serta PowerPoint.
Untuk mengetahui sama ada ciri Handoff boleh digunakan, selepas mengaktifkannya dalam tetapan iOS, anda akan melihat ikon telefon muncul pada ikon Word/Excel/PowerPoint atau notifikasi kecil di bahagian bawah skrin.
Microsoft turut menetapkan bahawa ciri ini hanya berfungsi jika fail-fail dokumen anda disimpan dalam storan awan OneDrive atau SharePoint. -Amanz
#Microsoft #Apple Handoff #Word Excel dan PowerPoint #fail dokumen
;