Microsoft didakwa oleh EU berkaitan akta antimonopoli
Amanz
Jun 26, 2024 14:15 MYT
Jun 26, 2024 14:15 MYT
GILIRAN Microsoft pula didakwa oleh Kesatuan Eropah (EU) kerana penawaran perisian telesidang Teams mereka didapati melanggar akta antimonopoli.
Penawaran Teams bersama berkas langganan Microsoft 365 dan Office 365 dikatakan adalah usaha Microsoft memonopoli pasaran Perisian Sebagai Perkhidmatan (SaaS) untuk kegunaan profesional.
Walaupun Microsoft tidak lagi menawarkan Teams bersama Microsoft 365 dan Office 365 sejak April lalu, EU merasakan tindakan ini masih tidak mencukupi kerana integrasi Teams yang masih ditawarkan menerusi perisian mereka yang lain.
Ini pada pandangan EU memberikan kelebihan yang tidak adil kepada Teams menyebabkan sukar untuk pesaing untuk menawarkan perisian mereka kepada pelanggan Microsoft.
Ini bukan kali pertama Microsoft berhadapan dengan tuduhan memonopoli pasaran. Sebelum ini mereka didenda oleh EU kerana penawaran Internet Explorer dan Windows Media Player yang juga dikatakan menyukarkan pesaing untuk menawarkan produk dengan fungsi yang serupa. - Amanz