Microsoft bakal berhentikan 11,000 kakitangan

Agensi
Januari 18, 2023 11:07 MYT
Microsoft mempunyai mempunyai 221,000 pekerja sepenuh masa termasuk 122,000 pekerja di Amerika Syarikat dan 99,000 yang lain di seluruh dunia berdasarkan data sehingga 30 Jun 2022. - Facebook/ @ MicrosoftMalaysia
LOS ANGELES: Syarikat teknologi Microsoft dilaporkan akan memberhentikan seramai 11,000 kakitangan di pelbagai jabatan bermula awal 2023.
Memetik Reuters, Sky News melaporkan, Microsoft merancang untuk mengurangkan sekitar lima peratus tenaga kerjanya bersamaan anggaran 11,000 orang bermula dari bahagian sumber manusia hingga kejuruteraan.
"Dari perspektif gambaran besar, proses mengurangkan kakitangan yang belum selesai di Microsoft menunjukkan persekitaran tidak bertambah baik dan berkemungkinan akan terus merosot," kata penganalisis Morningstar Dan Romanoff.
Selain itu, Insider melaporkan Microsoft akan mengurangkan satu pertiga pengambilan kakitangan.
Pada masa ini, konglomerat itu mempunyai 221,000 pekerja sepenuh masa termasuk 122,000 pekerja di Amerika Syarikat (AS) dan 99,000 yang lain di seluruh dunia berdasarkan data sehingga 30 Jun 2022.
Jika benar, pemberhentian ini akan menjadi kesinambungan daripada proses pemberhentian sebelum ini.
Sebelum ini, Microsoft Corp memberhentikan kira-kira 1,000 pekerja pada Oktober tahun lalu dan dasar ini, sekali gus, memberi kesan kepada kurang satu peratus daripada jumlah pekerja syarikat.
"Seperti syarikat lain, kami menilai keutamaan perniagaan kami secara tetap dan membuat pelarasan struktur mengikut kesesuaian," kata jurucakap Microsoft.
Pada Julai 2022, Microsoft memberhentikan sebilangan kecil pekerja beberapa hari selepas pembuat perisian memulakan tahun fiskal 2023, disebabkan perubahan struktur.
Bilangan pekerja yang diberhentikan kurang daripada satu peratus daripada jumlah pekerja.
Microsoft juga melaksanakan proses pemberhentian pada 2017 selepas permulaan tahun fiskal baharu yang mana syarikat memberhentikan ribuan pekerjaan selaras kepada jualan.
#Microsoft #Amerika Syarikat #buang pekerja #kakitangan Microsoft
;