MH370: Waris penumpang China tidak percaya bukti dari serpihan pesawat

AFP
Ogos 6, 2015 13:20 MYT
Suasana hiba mengiringi kaum keluarga penumpang yang berkumpul di luar pejabat Malaysia Airlines di Beijing. - Foto AFP
Sebahagian waris dan kaum keluarga penumpang MH370 di China meluahkan rasa marah dan tidak percaya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan serpihan flaperon yang dijumpai di pulau Lautan Hindi adalah dari pesawat berkenaan.
Sebelum itu suasana hiba turut mengiringi kaum keluarga penumpang yang berkumpul di luar pejabat Malaysia Airlines di Beijing.
"Saya tidak mempercayai maklumat terkini mengenai pesawat itu kerana mereka telah berbohong kepada kami sejak awal lagi. Anak saya masih berada di luar sana namun mereka tidak mahu memberitahu perkara sebenar," ujar Zhang Yongli, bapa kepada salah seorang penumpang.
Nenek kepada salah seorang mangsa, Bao Lanfang mendakwa semua pihak telah berbohong dengan tidak memberitahu perkara yang sebenar.
"Saya akan lakukan apa sahaja untuk berjumpa dia (cucunya) lagi. Beritahu apa yang perlu saya buat, saya akan melakukannya," ujar wanita berusia 63 tahun itu sebelum rebah ke lantai dan menangis.
Pesawat MH370 dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.
Sebahagian besar dari penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Alirlines itu adalah warganegara China.
BACA: MH370: Rakyat Malaysia beri kata-kata semangat kepada waris
BACA: 'Kawasan pencarian adalah betul, MH370 akan ditemui' - Australia
Usaha mencari tidak menemui apa-apa petunjuk sehinggalah penemuan flaperon yang disahkan oleh pihak berkuasa Perancis sebahagian dari pesawat Boeing 777.
Menurut Wen Bai, bapa kepada seorang penumpang berusia 34 tahun, para pemeriksa Perancis sangat berhati-hati dan tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga kini.
"Bagaimana anda boleh membuat kesimpulan bahawa pesawat itu telah terhempas hanya berdasarkan pada sekeping serpihan? Ia boleh diambil dari pesawat lain,” katanya.
Kebanyakan waris penumpang dari China secara konsisten menyatakan kepercayaan bahawa ahli keluarga mereka masih hidup, berkemungkinan ditahan di lokasi yang tidak diketahui.
Kepercayaan itu kian utuh meskipun bukti kini menjurus kepada berakhirnya penerbangan pesawat malang berkenaan di Lautan Hindi.
Media sosial turut menjadi platform rakyat China meluahkan kesangsian mereka.
"Malaysia mahu mengelak jumlah besar yang pampasan yang perlu dibayar lalu mengumum menjumpai serpihan di Pulau Reunion. Ia sekaligus mengatakan kapal terbang itu terhempas dan ini sekadar satu kemalangan. Kami tidak percaya," jelas satu komen di laman Sina Weibo.
#flaperon #Malaysia Airlines #MH370 #NOK #Pulau Reunion #SAR #waris
;