MH370: Tiga beradik sertai jalan kaki 60km bagi memperingati ibu bapa
Haider Yutim
Oktober 27, 2014 14:22 MYT
Oktober 27, 2014 14:22 MYT
Tiga beradik di Brisbane, Australia yang kehilangan ibu bapa mereka dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH370, telah menyertai acara berjalan kaki sejauh 60km, lapor BrisbaneTimes.
Karla McMaster, 27 dan adik lelakinya, Jayden Burrows, 28, serta adik perempuannya, Melia Burrows menyertai acara tersebut bagi memperingati ibu bapa mereka, Rod dan Mary Burrows yang hilang bersama pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu.
Selain itu, ia juga bagi memperingati nenek mereka, Maria Naglowski yang meninggal akibat kanser ovari pada tahun 2013.
Setiap mereka telah berjalan dari Everton Park ke bandar, dan dari New Farm Park kembali ke Everton Park.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 756 peserta yang setiap seorangnya telah menyumbang lebih AUS$2,000 dan mengumpul sebanyak AUS$2 juta untuk penyelidikan kanser di Queensland.
Jumlah kutipan program 'The Weekend to End Women's Cancers' dari seluruh Australia telah mencecah AUS$14.7 juta.
Ia bagi membiayai penyelidikan untuk penyakit kanser yang dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan Berghofer dan Hospital Wanita Diraja Brisbane.
Acara tersebut merupakan yang terbesar bagi mengumpul dana kanser wanita di Queensland.
Mary Burrows dan anaknya Karla telah menjadi sukarelawan program 'End Cancer' pada tahun 2013, dan berhasrat menyertainya lagi pada tahun 2014, namun tidak kesampaian.
"Ibu sepatutnya menyertai acara ini bersama saya dan Melia, tetapi dia telah menaiki pesawat MH370, jadi abang kami, Jayden menggantikannya," jelas Karla seperti yang dipetik BrisbaneTimes.
"Oleh itu, kami semua boleh mengenang dan memperingati nenek dan juga ibu bapa kami," katanya lagi.
Menurut Karla, keluarganya berdepan keadaan yang sukar setelah kehilangan ibu bapa mereka sejak kejadian MH370 lapan bulan lalu.
"Agak baik jika kami peroleh sedikit jawapan tentang pesawat itu. Memang sangat sukar tanpa ibu dan bapa," keluhnya.
Menurut pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Queensland, Dr Frank Gannon, AUS$2 juta yang dikutip itu akan disalurkan kepada penyelidikan dan penjagaan kanser wanita.
Empat kanser utama yang melibatkan wanita ialah kanser payudara, kanser serviks, kanser rahim dan kanser ovari. Bagaimana kata Dr Gannon, tahap sembuh bagi tiga kanser kecuali kanser rahim, telah meningkat.