MH370: Pihak berkuasa Australia semak data baharu, namun tidak syor pencarian

Astro Awani
Februari 17, 2022 14:33 MYT
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 bermula setelah ia hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang meneliti dakwaan seorang jurutera aeronautik Britain yang mendakwa mengetahui kedudukan sebenar pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang dari radar pada 8 Mac 2014.
Ketua Pesuruhjaya ATSB memberitahu, hasil semakan itu dijangka siap dalam beberapa minggu akan datang dan akan diumumkan kepada orang ramai menerusi laman web rasmi agensi itu.
Namun begitu, ATSB memaklumkan, agensi itu tidak mengesyorkan sebarang pencarian baharu pada ketika ini.
"Namun demikian kami serahkan kepada kerajaan Malaysia," kata ATSB dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Kenyataan ATSB dibuat berikutan beberapa siri kajian oleh jurutera aeroangkasa Richard Godfrey tahun lepas yang mendakwa berjaya membuat kesimpulan laluan penerbangan pesawat malang itu menuju ke lokasi di Lautan Hindi.
Kertas terbaharu bertarikh 31 Dis 2021 meletakkan lokasi pesawat di bahagian utara dari lokasi usaha pencarian dalam air sebelum ini.
Ia disimpulkan dengan menganalisis anomali dalam rangkaian radio amatur WSPRnet, menentukan yang mana mungkin disebabkan oleh gangguan daripada MH370, dan mengesahkannya dengan data lain.
Sebelum ini, jurutera Richard Godfrey percaya pesawat Boeing 777 itu terhempas ke Lautan Hindi iaitu kira-kira 2,000 kilometer barat Perth, bahagian Australia Barat.
Dalam rancangan Sunrise on 7 terbitan media Australia, Richard dilaporkan telah ‘mengukur’ kedudukan MH370 yang dilaporkan terhempas dan telah menghabiskan masa lebih setahun untuk menyiasatnya.
Dalam pada itu, Mitchell memberitahu, meskipun mengakui Godfrey seorang pakar yang boleh dipercayai namun ATSB tidak mempunyai kepakaran teknikal untuk menilai kertas kerjanya dan cara kerjanya mengenai kemungkinan laluan penerbangan MH370.
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 bermula setelah ia hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Bagaimana dan mengapa pesawat canggih Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dari pelbagai negara dan 12 anak kapal itu hilang tanpa dapat dikesan radar terus menjadi teka-teki hingga ke hari ini, di sebalik pencarian besar-besaran yang pernah dilakukan dalam sejarah penerbangan.
BACA: MH370: Lapan tahun hilang, misteri yang masih menjadi tanda tanya
#Boeing 777 #MH370 #Beijing #terhempas
;