MH370: Pencarian diteruskan hingga 2017, objek dasar laut akan diteliti
Agensi
Oktober 19, 2016 17:17 MYT
Oktober 19, 2016 17:17 MYT
Pencarian pesawat MH370 akan dilanjutkan sehingga tahun depan.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada Rabu berkata pencarian pesawat malang itu akan berakhir “sekitar Januari/Februari 2017”, dengan berbaki kurang 10,000 kilometer persegi kawasan yang perlu diteroka.
Menurutnya, kelewatan ini disebabkan keadaan cuaca buruk ketika musim sejuk di hemisfera selatan.
Dalam pada itu, ATSB turut berkata bahawa pasukan penyiasat akan mengerahkan kenderaan dasar laut bagi meneliti beberapa objek yang dikesan pengimbas sonar di Lautan Hindi.
Ia susulan penemuan beberapa objek yang muncul pada imbasan sonar yang menunjukkan ia mempunyai ciri buatan manusia dan perlu diteliti sama ada ia sebahagian daripada pesawat MH370 atau tidak.
“Kenderaan ROV itu akan meneliti, melalui pengimejan video, beberapa objek yang telah dikenal pasti semasa operasi sebelum ini.
“Sebelum ini, operasi ini tergendala akibat keadaan cuasa musim sejuk,” kata ATSB.
Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu hilang pada 8 Mac 2014 selepas komunikasi dari pesawat malang itu terputus semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dipercayai terhempas ke dalam Lautan Hindi di luar pantai Australia Barat.
Setakat ini tiada objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat itu ditemukan di kawasan itu.
Walau bagaimanapun, pasukan penyiasat telah mengesahkan beberapa serpihan yang dijumpai di pesisiran pantai barat Lautan Hindi adalah milik pesawat MH370.
Setakat ini operasi pencarian telah dilakukan pada kawasan seluas 110,000 kilometer persegi.