MH370: Koordinasi lemah didakwa punca tersilap kawasan pencarian lebih tiga hari - WSJ

Astro Awani
April 1, 2014 11:54 MYT
Lemahnya koordinasi di kalangan negara-negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 telah menyebabkan pihak terlibat tersilap mencari di kawasan yang salah di Lautan Hindi, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ).
Lapor WSJ, ini terjadi berikutan kumpulan penyiasat dan pakar-pakar antarabangsa telah menjalankan siasatan secara berasingan untuk mengesan lokasi di mana pesawat berkemungkinan jatuh.
WSJ yang memetik dua sumber yang dikatakan ada kaitan dengan operasi pencarian berkata, kegagalan koordinasi mengambil tindakan pantas, menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan kaedah penyampaian maklumat kepada negara-negara terbabit.
Sedang sebuah pasukan menganggarkan kelajuan dan jumlah minyak yang digunakan oleh pesawat berdasarkan data radar dan prestasi pesawat, pasukan yang lain mengambil masa berhari-hari untuk meneliti data satelit, kata sumber itu.
Lokasi pencarian akhirnya diubah pada Jumaat lalu hanya selepas pihak berkuasa mengaitkan dua hasil siasatan terbabit.
“Hasil siasatan mendapat maklumat yang kredibel mengenai laluan dan lokasi pesawat berkemungkinan terhempas di perairan Australia,” kata Ketua Pesuruhjaya Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan kepada WSJ.
Sumber juga mengatakan pencarian adalah ‘satu proses mengambil masa dan pegawai penyiasat telahpun berkongsi maklumat dengan negara-negara terlibat’.
“Namun pihak berkuasa Malaysia tidak merasakan adalah peranannya untuk memastikan pakar-pakar antarabangsa ini berkongsi maklumat sesama mereka,” satu sumber memaklumkan kepada WSJ.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
#Boeing 777-200 #MH370 #Najib Razak #penerbangan Malaysia
;