MH370: Dari pemerhatian insan perakam visual sejarah
Izza Izelan
Mac 7, 2015 07:53 MYT
Mac 7, 2015 07:53 MYT
Cukup setahun selepas tragedi malang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan ‘hilang’, tiada siapa dapat bebas daripada menanggung beban fikiran yang juga menguji ketabahan hati.
Wartawan Astro AWANI, Izza Izelan mewawancara perakam visual sejarah yang berasal dari New York, Michael Raisch.
Raisch bukan sahaja telah mengikuti kisah tragedi penerbangan ini, malah telah mengalami insiden dahsyat seumpamanya di negara asalnya iaitu serangan 11 September. Namun, sesuatu yang pasti adalah semua orang masih terkesan dengan misteri yang tercetus setahun lalu.
Izza Izelan (II): Tarikh 8 Mac ini genap menandakan tempoh setahun berlalu selepas tragedi kehilangan pesawat MH370. Apa yang anda rasa sewaktu pertama kali mendapat tahu tentang insiden ini tahun lalu?
Michael Raisch (MR): Setahun yang lalu, saya mendapat tahu tentang berita ini melalui Twitter. Frasa yang digunakan dalam tuit tersebut mempunyai ‘nada’ yang aneh dari mula. Laporannya tidak mengesahkan tentang pesawat itu terhempas, sebaliknya hanya dilaporkan sebagai ‘hilang hubungan komunikasi’. Saya juga ingat berita itu disusuli khabar angin yang pelbagai, termasuklah yang menyatakan pesawat itu telah mendarat di Vietnam. Seiring cerita dan berita terbaru mengenainya, saya juga secara sambil lalu membaca artikel Wikipedia tentang pesawat berkenaan. Saya mahukan pemahaman yang tidak berat sebelah tentang situasi tersebut. Dari situlah saya mula-mula mendapat tahu tentang nombor pada ekor pesawat tersebut iaitu 9M-MRO.
II: Setahun telah berlalu dan pesawat ini masih tidak dijumpai. Apakah yang bermain dalam fikiran anda? Apakah perasaan anda sekarang ini sebagai perakam visual sejarah yang mengikuti insiden ini dari perspektif orang ketiga?
MR: Ia mengimbas kembali kepada perasaan yang dialami rakyat negara saya sewaktu tahun pertama tragedi 11 September. Salah satu aspek peristiwa itu adalah bagaimana Amerika Syarikat bersatu sebagai sebuah negara dalam tempoh perkabungan umum dan bersemangat patriotik. Acara ‘Tribute in Light’ telah dilancarkan kepada umum sewaktu Bandaraya New York baru enam bulan melalui fasa tragedi serangan 9/11. Saya terpaksa meninggalkan kuliah kolej untuk menghadiri acara tersebut di pusat bandar Manhattan. Datuk Bandar Michael Bloomberg dan Rudy Giuliani juga hadir ke acara tersebut. Saya berjaya mendapat tempat dalam kelompok wartawan antarabangsa. Dalam acara itu, mereka telah memancarkan dua lampu biru. Persembahan dan ketegasan mesejnya sangat hebat. Memancar ke langit, itulah kali pertama orang ramai memandang ke atas sejak serangan tersebut, seolah-olah memandang semula dua menara yang telah tiada. Saya merasakan daripada apa yang telah anda kongsikan bersama saya tahun lalu ketika temu bual pertama kita bahawa peristiwa ini sangat mendukacitakan seluruh Malaysia. Seiring suasana kesedihan tersebut, saya percaya bahawa usaha untuk mengingati dalam waktu sukar benar-benar menyatukan kita secara luar biasa.
II: Saya difahamkan bahawa anda telah menganjurkan sebuah acara penghormatan untuk pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan para juruterbang dan komuniti plane-spotter (pemerhati pesawat) di seluruh dunia. Bagaimanakah usaha ini bermula?
MR: Setelah sebulan berlalu dalam garis masa MH370, cerita mengenainya terus dilaporkan dalam berita di AS. Saya telah kembali menelusuri laman Wikipedia untuk mengetahui tentang pesawat tersebut dan kemudian sekali lagi mencatatkan nombor ekor pesawat. Saya mempunyai sedikit latar belakang dalam latihan penerbangan ketika saya berusia 20-an.
Saya tahu tentang keunikan nombor ekor pesawat, dan melalui maklumat itu saya kagum melihat betapa banyaknya jumlah imej dalam talian yang telah merakamkan pesawat ini sepanjang sedekad ia beroperasi. Ia merupakan momen yang mengujakan apabila membuat reviu ke atas ime-imej pesawat milik Malaysia yang terbang ke seluruh dunia. Ada sesuatu yang menarik apabila melihat gambar pesawat MH370 ini yang pernah terbang megah suatu masa dahulu. Selepas melihat dokumentasi tersebut, saya membuat susulan sendiri dengan para jurugambarnya. Melalui hasil kerja mereka, kita boleh melihat pesawat ini semula, sedangkan hari ini ia sedang dicari dan ditunggu di seluruh dunia. Di ruang maya, saya memberi tumpuan kepada tiga laman iaitu Flickr, Airliners.net dan Planespotters.net.
II: Apakah yang memberi inspirasi kepada anda untuk mencari komuniti pemerhati pesawat ini dan menghasilkan sebuah penghormatan?
MR: Kita kembali ke bangunan World Trade Center. Pada penghujung tahun 2013, saya baru saja hendak mengakhiri kerja-kerja produksi teknik selang waktu (time-lapse) pembinaan menara One World Trade Center melalui rakaman dari seberang sungai di Jersey City. Daripada komitmen fotografi jangka panjang ini, saya dapat mengaitkannya dengan komuniti pemerhati pesawat khususnya dedikasi mereka dalam mengambil gambar ratusan pesawat.
Saya merasakan bahawa komuniti yang telah merakamkan gambar pesawat MH370 mempunyai banyak sebab untuk berkongsi imej mereka. Kemudian, satu soalan telah timbul: “Kalian telah merakamkan gambar sebuah pesawat yang tidak lagi dilihat oleh orang lain. Bagaimanakah rasanya?” Sebagai jurugambar, saya sedar bahawa kita semua mempunyai ‘hubungan’ dengan kerja dan minat sebagai pencipta imej. Saya dapati bahawa saya betul. Ramai jurugambar ini turut merasakan ‘hubungan’ dengan pesawat yang hilang ini, walaupun dalam detik pantas ia dirakamkan. Cerita dan gambar-gambar mereka itulah yang saya hasilkan untuk acara penghormatan ini.
II: Apakah perkara yang telah anda pelajari daripada komuniti pemerhati pesawat melalui kerjasama dengan mereka dalam penghormatan ini?
MR: Komuniti pemerhati pesawat telah menunjukkan kepada saya betapa dunia penerbangan telah menjangkau minat ramai orang di seluruh dunia. Sejak penerbitan tribut foto, saya telah meluaskan jaringan perhubungan media sosial dalam bidang penerbangan. Perspektif mereka tentang dunia sangat menarik dan sentiasa berubah. Anda boleh lihat bagaimana pengembaraan boleh menyatukan dunia. Saya juga mengagumi dedikasi mereka terhadap karya mereka terutamanya dalam usaha mendapatkan gambar terbaik pesawat-pesawat antarabangsa. Ini merupakan cinta universal terhadap dunia penerbangan yang merentasi bahasa dan sempadan. Ia merupakan minat yang hebat untuk dikongsi.
II: Akhir sekali, apakah harapan anda dalam situasi ini, dan apa yang anda ingin katakan kepada keluarga dan teman-teman mangsa pesawat MH370?
MR: Berdasarkan maklum balas yang saya terima mengenai Photo Tribute, saya merasakan sebuah perkongsian kesedihan dari seluruh dunia yang datangnya daripada cerita berkaitan MH370. Saya mahu mereka tahu bahawa dunia turut berdukacita perasaan hiba dan kehilangan yang dialami. Untuk keluarga mangsa, peristiwa yang tidak ada kesudahan ini pastinya sesuatu yang berat untuk ditanggung. Untuk itu saya mengharapkan suatu pengakhiran dan pemulihan. Saya harap suatu hari nanti akan didirikan sebuah memorial bagi menawarkan sebuah tempat untuk keluarga mangsa mengingati dan memberi penghormatan.
Nota: Michael Raisch dan Izza Izelan pernah berkolaborasi dalam sebuah video tribut mengenai sebuah lagi tragedi penerbangan melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang telah ditonton sebanyak lebih 20,000 kali.