MH370 dalam 'kelajuan menjunam yang meningkat' sebelum hilang - Laporan

Agensi
November 2, 2016 03:22 MYT
Gambar memaparkan pesawat pencari Royal New Zealand Air Force P3 Orion sewaktu dalam misi pencarian pesawat MH370 pada 31 Mac, 2014. - Foto Reuters
Laporan terbaharu berkaitan kehilangan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia mendapati hasil analisis lanjut dari satelit komunikasi pesawat adalah konsisten dengan kedudukan pesawat “yang berkelajuan menjunam yang tinggi” sejurus sebelum ia hilang.
Analisis lanjut oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai pencarian pesawat MH370 turut memaklumkan flap sayap pesawat terbabit tidak sesuai untuk pendaratan.
Kedua-dua maklumat terbaharu oleh agensi itu turut memperkukuhkan pandangan sebelum ini bahawa pesawat MH370 itu tidak dikemudi oleh juruterbang dan menjunam dengan lajunya selepas kehabisan bahan api, sebelum hilang.
Laporan setebal 28 muka surat yang dikeluarkan hari ini turut mengemukakan simulasi dan arah pesawat terbaharu.
Pesawat jenis Boeing 777 itu hilang sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal memaksa pencarian lebih dua tahun enam bulan di Lautan Hindi.
#ATSB #Biro Keselamatan Pengangkutan Australia #Lautan Hindi #MH370