MH370: Carian dalam air mungkin selesai pada Mei - JACC
Bernama
April 15, 2015 15:43 MYT
April 15, 2015 15:43 MYT
Pencarian dalam air pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 di kawasan terpencil di Lautan Hindi, mungkin akan diselesaikan pada Mei.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia yang menyelia operasi pencarian, dalam satu kenyataan memaklumkan buat masa ini, lebih 60 peratus daripada kawasan carian telah diterokai.
Bagaimanapun, menurut JACC, sasaran itu dibuat dengan harapan agar tidak berlaku kelewatan melibatkan keadaan kapal, peralatan dan cuaca.
"Kerja-kerja kami akan terus dijalankan secara menyeluruh dan teratur, jadi kadang kala kemajuan setiap minggu mungkin kelihatan lambat.
"Kami akan pastikan bahawa kerja-kerja akan berterusan dan menyasar untuk mencari MH370 secepat mungkin," menurut JACC.