MH17: Ukraine dakwa berjaya gagalkan plot terhadap Menteri Luar Belanda

Astro Awani
November 19, 2014 05:15 MYT
Plot ke atas Bert Koenders tersebut dipercayai sudah dirancang sejak 8 November lalu di Kharkiv, timur Ukraine. - Foto fail
Anggota keselamatan Ukraine semalam mendakwa berjaya menggagalkan sebuah plot yang mengancam keselamatan Menteri Luar Belanda ketika beliau memberi penghormatan terakhir buat mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17.
Plot ke atas Bert Koenders tersebut dipercayai sudah dirancang sejak 8 November lalu di Kharkiv, timur Ukraine, iaitu sewaktu beliau bersama delegasi dijadualkan melawat bangunan yang menempatkan saki baki mayat sebahagian mangsa.
Sehingga kini, tiada butiran terperinci tentang maksud 'plot' tersebut.
Pesawat Boeing 777 yang malang itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia dilaporkan ditembak jatuh di kawasan terpencil di bawah kuasa puak pemisah di timur Ukraine.
Insiden yang berlaku pada 17 Julai itu mengorbankan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal.
“Kami telah menahan sekumpulan 12 orang yang sangat berbahaya dan telah merampas bekalan senjata dan peluru. Mereka juga memiliki periuk api dan bahan letupan dalam simpanan,” kata ketua perkhidmatan keselamatan Ukraine, Valentyn Nalyvaychenko, dalam sebuah sidang media.
Memetik maklumat yang didapatkan sewaktu sesi soal siasat salah seorang daripada suspek, Nalyvaychenko memberitahu mereka yang ditahan itu adalah warga Ukraine yang disokong pakar ketenteraan Rusia bagi melakukan serangan.
Menteri Keadilan Belanda yang dihubungi AFP menyatakan bahawa pihak mereka tidak dapat mengesahkan sebarang maklumat buat masa ini.
Pihak berkuasa Belanda mahu menguruskan sendiri kerja pengalihan serpihan bangkai pesawat MH17 namun akhirnya bekerjasama dengan pasukan tempatan Ukraine atas sebab-sebab keselamatan. - Foto fail
Pasukan petugas warga tempatan di bawah pengawasan Belanda kini memasuki hari ketiga melakukan kerja-kerja pengalihan sisa serpihan bangkai pesawat MH17. Kesemua yang diambil daripada tapak nahas mahu dibawa pulang ke Belanda.
Pihak berkuasa Belanda pada mulanya mahu menguruskan sendiri serpihan pesawat tersebut, namun akhirnya bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak pemberontak di situ atas sebab keselamatan.
#Belanda #Bert Koenders #Malaysia #MAS #menteri #MH17 #plot #Ukraine