MH17: Suspek nafi terlibat insiden tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines
Astro Awani
November 3, 2020 06:00 MYT
November 3, 2020 06:00 MYT
THE HAGUE: Salah seorang suspek yang didakwa dalam perbicaraan kes tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 menafikan penglibatannya dalam insiden itu.
Oleg Putalov sebaliknya mendakwa hasil siasatan yang mengaitkannya dengan kejadian itu hanya salah faham.
Ini adalah kali pertama Putalov, salah seorang daripada empat yang didakwa, mengeluarkan kenyataan.
“Setiap kali anda mendengar perbualan yang dipintas dan menyebut Buk, anda boleh yakin bahawa ia dilakukan dengan tujuan salah, cuba mempengaruhi kami untuk menjadikan kedudukan kami lebih mencabar, di sebalik situasi sukar yang kami hadapi ketika itu,” katanya.
Kenyataan ini sebahagian daripada keterangan bagi proses perbicaraan awal.
Putalov dan tiga yang lain dibicarakan tanpa kehadiran mereka di mahkamah.
Pasukan penyiasat sebelum ini merumuskan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Ukraine dikuasai Pro Rusia.
Sejumlah 298 anak kapal dan penumpang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur maut dalam insiden itu.
Perbicaraan dijadual berterusan sehingga tahun depan.