MH17: Rusia akan dikenakan sekatan lebih ketat

Astro Awani
Julai 24, 2014 15:49 MYT
Rusia akan dikenakan sekatan atas peranan Moscow dalam krisis Ukraine.
Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan bersedia mengenakan sekatan baru terhadap Rusia ekoran insiden kumpulan pemisah Ukraine, yang dikatakan mendapat bantuan Rusia, menembak jatuh Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 .
Menteri-menteri luar dari blok 28 negara berkata mereka akan bertemu di Brussels hari ini untuk merangka satu senarai baru individu dan entiti Rusia untuk dikenakan sekatan atas peranan Moscow dalam krisis Ukraine.
EU bersetuju untuk mempercepatkan sekatan yang lebih luas dan menimbangkan langkah-langkah lebih sukar selepas pesawat MAS ditembak jatuh di timur Ukraine yang didakwa angkara kumpulan pemisah yang disokong Rusia.
Sementara itu,berpuluh-puluh lagi mayat dari lokasi kemalangan Pesawat MAS penerbangan MH17 akan tiba di Belanda pada Khamis.
Mayat pertama dari lokasi kemalangan tiba di Belanda pada hari Rabu, dalam suasana negara tersebut sedang bersedih dan berkabung susulan nahas MH17 yang membabitkan ramai rakyat negara itu.
193 dari mangsa nahas itu adalah warganegara Belanda dan mereka bersatu dalam keadaan bersedih dan marah akibat kelewatan mayat dikembalikan akibat cara kumpulan pemisah menguruskan kawasan kemalangan, mayat mangsa dan harta benda peribadi.
Dalam satu majlis memilukan dan suram, anggota tentera Belanda berpakaian seragam membawa 40 keranda kayu dari dua pesawat dan meletakkan mereka pada satu tempat di lapangan terbang Eindhoven di selatan negara ini.
Ramai yang dilihat mengalirkan air mata apabila lagu 'Last Post' dimainkan pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 1,000 saudara mangsa yang berkabung, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima bersama wakil-wakil negara-negara lain.
Pegawai-pegawai dari Belanda yang mengetuai siasatan di Ukraine berkata mereka telah menerima 200 mayat dari kumpulan pemberontak.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte memaklumkan proses mengenal pasti mayat itu berkemungkinan akan mengambil masa beberapa bulan.
Polis Belanda telah mengambil sampel DNA daripada barangan yang seperti sikat rambut, butiran tatu dan cap jari, serta rekod perubatan dan pergigian untuk membantu proses pengenalan.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine
;