MH17: Perarakan senyap peringati pemilik restoran terkenal di Rotterdam hari ini

Astro Awani
Julai 20, 2014 23:12 MYT
Pasangan warganegara Netherlands itu yang berasal dari Malaysia, menaiki pesawat MH17 bersama ibu dan suaminya.
Satu perarakan senyap akan dianjurkan di Rotterdam pada Isnin bagi memperingati pasangan suami isteri pemilik restoran terkenal di bandar raya itu, Jenny Loh dan suaminya, Fan Shun-po yang terbunuh dalam nahas MH17, lapor laman web akhbar Algemeen Dagblad (AD).
Jenny, 54, warganegara Netherlands yang berasal dari Malaysia, menaiki pesawat itu bersama ibu dan suaminya. Mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghantar ibu Jenny pulang selepas wanita itu datang bercuti menziarahi mereka di Rotterdam.
Menurut akhbar itu, majlis peringatan tersebut dianjurkan oleh rakan-rakan pasangan suami isteri itu dengan persetujuan anak mereka, Kevin.
"Sesiapa yang mahu merakamkan simpati dialu-alukan untuk ikut serta," kata perunding katering, Jeroen Ballot seperti dipetik oleh akhbar itu.
Tambah beliau, Jenny dan suaminya bukan hanya usahawan katering tetapi mereka juga ikon yang dihormati oleh warga Netherlands serta tukang masak terkemuka.
"Saya kenal mereka selama 25 tahun. Mereka akan dirindui, sungguh," kata Ballot.
Perarakan peringatan itu akan berlangsung pada pukul 7 malam bermula di Theatre Square menuju ke restoran Asian Glories di Leeuwenstraat.
Ia terbuka kepada umum dan mereka yang menghadirinya digalakkan berpakaian putih dan membawa bunga putih, lapor akhbar itu. Bagi mereka yang tidak menyertai acara peringatan itu, ahli keluarga menyediakan laman web belasungkawa dalam talian.
Sementara itu, anak pasangan tersebut, Kevin, mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyampaikan ucap takziah.
"Kehilangan ini sukar digambarkan," katanya yang bukan saja kematian ibu dan ayah tetapi juga neneknya.
Ibu dan ayah Kevin itu dalam perjalanan rutin pulang ke kampung. Setiap tahun biasanya mereka menaiki penerbangan terus dari Rotterdam ke Hong Kong.
Tetapi oleh sebab kali ini mereka perlu membawa ibu Jenny ke Pulau Pinang selepas dia menziarahi mereka, pasangan itu memilih terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan menaiki pesawat malang MH17.
#Amsterdam #Asian Glories #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine
;