MH17: Pendakwaan gagal buktikan misil BUK buatan Rusia - Pasukan pembelaan

Astro Awani
Jun 10, 2022 14:40 MYT
Pada 17 Julai 2014, pesawat penumpang yang menuju ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh dan meragut nyawa 298 orang penumpang. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan bagi perbicaraan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 gagal membuktikan bahawa peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat itu adalah buatan Rusia.
Perkara itu dinyatakan peguam yang mewakili suspek warga Rusia dalam perbicaraan yang berlangsung pada Khamis, seperti dilaporkan Channel News Asia (CNA).
Sabine ten Doesschate yang mewakili salah seorang tertuduh, Oleg Pulatov berkata pasukan pendakwaan terlalu fokus untuk membuktikan puak pemisah Rusia di Ukraine menggunakan peluru berpandu atau misil BUK yang dibekalkan Rusia.
BACA: MH17: Jika untuk cari keadilan, Malaysia sedia sokong tindakan undang-undang Australia, Belanda
BACA: MH17: Malaysia ambil bahagian dalam ICAO, komited tuntut keadilan
"Sebagai penutup, pasukan pendakwaan gagal membuktikannya menerusi perbualan telefon yang dipintas, gambar dan kenyataan saksi bahawa MH17 dijatuhkan oleh peluru berpandu tersebut," katanya.
Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa jejak asap yang dilihat selepas peluru berpandu itu ditembak adalah Buk.
Doesschate membuat hujahan itu pada hari akhir perbicaraan kes tersebut di Kompleks Kehakiman Schipol dekat Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam di mana pesawat MH17 berlepas.
Pada 17 Julai 2014, pesawat penumpang yang menuju ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh dan meragut nyawa 298 orang penumpang.
Pulatov merupakan satu-satunya defendan yang diwakili peguam semasa perbicaraan itu, yang bermula sejak Mac 2020 melibatkan empat tertuduh.
Dua lagi tertuduh merupakan warga Rusia iaitu Sergei Dubinsky dan Igor Girkin, manakala Leonid Kharchenko pula warga Ukraine.
Sementara itu, pasukan pendakwaan memohon supaya hukuman penjara seumur hidup dikenakan terhadap kesemua tertuduh yang tidak hadir dalam perbicaraan itu atas dakwaan sebagai individu berperanan menjatuhkan pesawat tersebut.
#MH17 #perbicaraan MH17 #tertuduh tembak MH17 #peluru berpandu MH17
;