MH17: Pemimpin politik Australia bersatu beri tekanan kepada Vladimir Putin
Astro Awani
Julai 20, 2014 21:35 MYT
Julai 20, 2014 21:35 MYT
Seluruh pemimpin politik Australia bersatu mengutuk tragedi yang berlaku ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine serta menggesa Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin untuk menjelaskan peranan Rusia.
Lapor laman portal News.net.au, Ketua Parti Buruh Bill Shorten mengumumkan bahawa pihak pembangkang negara tersebut akan menyokong penuh gesaan agar Putin dihalang terus untuk menghadiri mesyuarat G20 di Queensland, Australia.
Begitu juga dengan Ketua Queensland, Campbell Newman yang berkata bahawa kedatangan Putin tidak dialu-alukan di negara itu jika dia tidak memberikan kerjasama penuh dalam menyelesaikan isu pesawat MH17.
Tulis portal News.au.net lagi, anggota penyiasat yang berada di kawasan nahas kecewa dengan tindakan pemberontak Rusia mengepung tempat kejadian dengan alasan keselamatan.
Namun begitu, kerajaan Rusia menafikan mereka mempunyai hak ke atas pemberontak.
Sebelum itu, kerajaan Ukraine dimaklumkan mengenai 38 mayat telah dipindahkan ke rumah mayat Donetsk bersama pakar yang berdialek Rusia yang mendakwa akan melakukan bedah siasat.
Pada 17 Julai, pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal, disahkan terhempas di Ukraine dipercayai ditembak semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.