MH17: Mahkamah umum keputusan pendengaran kes Belanda terhadap Rusia malam ini
Hafizi Rosli
Januari 25, 2023 12:00 MYT
Januari 25, 2023 12:00 MYT
ROM: Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) dijangka mengumumkan sama ada akan mendengar pendakwaan terhadap Rusia berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Kerajaan Belanda dalam pendakwaannya menyebut bahawa Rusia menyalurkan maklumat salah mengenai peranan Moscow dalam kejadian itu dan ia merupakan pencabulan hak asasi buat semua waris mangsa terlibat.
Namun Rusia menafikan dakwaan tersebut.
Keputusan sama ada pendakwaan kes akan didengar dijangka dibacakan pada jam 2.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia).
Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas terkena tembakan peluru berpandu darat-ke-udara ketika konflik memuncak di antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine di Wilayah Donbas, Ukraine.
Kesemua 298 penumpang termasuk anak kapal terbunuh setelah pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang didakwa dilepaskan oleh kumpulan pemisah Ukraine yang disokong Rusia.
Belanda mendakwa Rusia terlibat dalam insiden itu dan kes itu bergantung kepada sama ada Moscow mempunyai kawalan ke atas wilayah berkenaan.
Pada ketika ini, ECHR hanya akan memutuskan sama ada kriteria itu dipenuhi.
Sekiranya ECHR memutuskan untuk mendengar kes yang dibawa Belanda, keputusan mungkin akan memakan masa bertahun sebelum diumumkan.
Namun, jika ECHR meletakkan keputusan bersalah terhadap Rusia, Moscow mungkin diwajibkan membayar ganti rugi kepada waris mangsa terlibat.
Pada November, mahkamah Belanda mendapati tiga lelaki, iaitu dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine, bersalah atas tuduhan membunuh dalam kes berkenaan.
Mahkamah membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu itu dilepaskan dengan sengaja untuk menjatuhkan pesawat walaupun sasaran sebenar adalah milik tentera dan bukannya orang awam.
Ketiga-tiga lelaki itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, namun kesemua mereka dilapor berada di Rusia.
Moscow mengkritik keputusan itu yang didakwanya sebagai bermotif politik dan dilapor tidak akan menyerahkan suspek untuk menjalani hukuman.