MH17: Mahkamah putuskan kes Belanda, Ukraine terhadap Rusia diterima

Agensi
Januari 25, 2023 23:00 MYT
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) menerima kes dibawa Ukraine dan Belanda terhadap Rusia. - Gambar fail/ Reuters
AMSTERDAM: Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat keputusan menerima kes dibawa Ukraine dan Belanda terhadap Rusia berhubung pencabulan hak asasi manusia di dua wilayah, Luhansk dan Donetsk di Ukraine dan penembakan jatuh pesawat MH17.
Keputusan itu menunjukkan mahkamah yang berpangkalan di Strasbourg itu menganggap Rusia boleh dipertanggungjawabkan atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia di dua wilayah pemisah itu, lapor Reuters.
"Antara lain, Mahkamah mendapati bahawa kawasan di timur Ukraine dalam tangan pemisah adalah, dari 11 Mei 2014 dan sehingga sekurang-kurangnya 26 Januari 2022, di bawah bidang kuasa Persekutuan Rusia," kata mahkamah dalam keputusan pada Rabu.
Memetik laporan Reuters, kes-kes itu kini akan beralih ke peringkat merit yang dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun lagi sebelum keputusan muktamad dikeluarkan.
Keputusan ECHR itu membuka pintu kepada sekurang-kurangnya tiga kes lain oleh negara Ukraine terhadap Rusia yang telah ditangguhkan sementara menunggu keputusannya.
Belanda memfailkan kesnya dengan ECHR pada 2020, mendakwa penembakan jatuh pesawat MH17 di atas wilayah di timur Ukraine yang dikawal pemisah yang disokong Rusia melanggar Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.
Moscow telah berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam pemusnahan pesawat itu ketika pertempuran berlaku antara pemisah dengan tentera kerajaan Ukraine.
Dua kes Ukraine, yang bertarikh dari 2014, berkaitan dengan apa yang dikatakan Kiev sebagai amalan pentadbiran oleh Rusia di timur Ukraine yang melanggar Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.
Selain itu, ia juga berkaitan penculikan tiga kumpulan anak-anak yatim dan kanak-kanak Ukraine tanpa penjagaan ibu bapa, dan beberapa orang dewasa yang menemani mereka.
Semua mangsa itu dipulangkan semula selepas sehari atau, dalam kes ketiga, lima hari selepas penculikan mereka, kata ECHR.
Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas terkena tembakan peluru berpandu darat-ke-udara ketika konflik memuncak di antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine di Wilayah Donbas, Ukraine.
Kesemua 298 penumpang termasuk anak kapal terbunuh setelah pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang didakwa dilepaskan oleh kumpulan pemisah Ukraine yang disokong Rusia.
Belanda mendakwa Rusia terlibat dalam insiden itu dan kes itu bergantung kepada sama ada Moscow mempunyai kawalan ke atas wilayah berkenaan.
#MH17 #Rusia #keputusan mahkamah #mahkamah eropah
;