MH17: Abbott tidak jadi berkonfrontasi dengan Putin, pilih diplomasi

AFP
November 12, 2014 09:49 MYT
Abbott dan Putin sedang membincangkan sesuatu ketika pertemuan mereka di Sidang Kemuncak APEC pada Selasa. EPA/ALEXEY DRUGINYN / RIA NOVOSTI / POOL
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mendesak siasatan keatas nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dilakukan dengan segera bagi mencari jawapan kepada nahas yang meragut 298 nyawa apabila terhempas di timur Ukrain pada 17 Julai lalu.
Abbot yang sebelum ini lantang bersuara ingin bersemuka dengan Putin bagaimanapun memilih jalan untuk lebih berdiplomatik ketika bertentang mata dengan Putin ketika bertemu di Sidang Kemuncak APEC di Beijing pada Selasa.
“Nahas pesawat Malaysia adalah topik utama perbincangan antara Vladimir Putin dan Tony Abbott,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kremlin Selasa.
“Kedua-dua pemimpin telah secara terbuka berpendapat siasatan keatas nahas itu harus disegerakan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.”
“Hakikat yang pegawai penyiasat tidak dapat ke lokasi nahas turut disuarakan kepada pihak Rusia,” tambah kenyataan itu lagi.
“Vladmir Putin sedari awal menegaskan tuntutan Rusia agar satu siasatan yang tidak berpihak, segera dan efektif dijalankan.”
Sementara itu jurucakap Putin, Dmitry Peskov dalam satu kenyataan berasingan kepada agensi berita RIA Novosti berkata, Abbott tidak memilih jalan berkonfrontasi dengan Putin.
“Kelihatannya dia (Abbott) tidak cuba melakukannya (berkonfrontasi).”
Abbott dan pihak Barat yang lantang bersuara dengan nada marah selepas kejadian nahas MH17, sebelum ini mendakwa pesawat terbabit telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia dan ramai yang mendesak agar Putin tidak dibenarkan ke Australia.
Namun Abbott dilihat memilih untuk menumpukan kepada isu-isu ekonomi negara kumpulan G-20 daripada mengganggu perjalanan mesyuarat yang dihadiri pemimpin dunia itu.
Abbott dilihat lebih mementingkan untuk mewujudkan laluan perbincangan dengan Moscow berhubung nahas itu. Seramai 38 orang rakyat Australia terbunuh dalam nahas itu.
#ASPEC #Malaysia #MH17 #Najib Razak #penerbangan Malaysia #Rusia #Tony Abbott #Vladmir Putin
;