MH122 berpatah balik: 32 penerbangan domestik batal

Agensi
Ogos 14, 2023 20:44 MYT
Penerbangan MH122 membawa 194 penumpang dan lima kru - Gambar/Twitter Muhammad Zubair
Sekurang-kurangnya 32 penerbangan domestik dibatalkan susulan insiden seorang penumpang yang didakwa membuat gangguan terhadap penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH122 yang dalam penerbangan dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur pada Isnin.
Lapangan Terbang Sydney dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan domestik turut berdepan kelewatan sehingga 90 minit akibat insiden tersebut.
"Akibat kejadian petang tadi, terdapat 32 penerbangan domestik dibatalkan dengan 16 penerbangan masuk dan 16 lagi penerbangan keluar.
BACA: Pesawat MH122 terpaksa berpatah balik akibat 'gangguan' penumpang
"(Bagaimanapun), tiada penerbangan antarabangsa yang dibatalkan," katanya memetik laporan media antarabangsa.
Terdahulu, Polis Persekutuan Australia (AFP) memaklumkan seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan tanpa sebarang pergelutan dan dijangka didakwa lewat malam ini kerana membuat gangguan.
Jelas AFP, semua penumpang telah dipindahkan dari pesawat berkenaan dan insiden tidak mencetuskan sebarang ancaman terhadap masyarakat.
Penerbangan itu meninggalkan Sydney pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan mendarat semula di landasan pada pukul 3.47 petang.
Penerbangan MH122 membawa 194 penumpang dan lima kru.
#penerbangan antarabangsa #berdepan kelewatan #membuat gangguan #waktu tempatan
;