Mexico terima dos pertama vaksin COVID-19

Astro Awani
Disember 23, 2020 23:07 MYT
Bekalan pertama vaksin Pfizer COVID-19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez di Mexico City, 23 Dis, 2020. (Foto AP)
MEXICO menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 pada Rabu, menjadi negara Amerika Latin pertama yang menerima dos vaksin berkenaan.
Pesawat yang membawa dos pertama Pfizer-BioNTech mendarat sekitar awal pagi di lapangan terbang Mexico City, dari Belgium.
Setiausaha Luar Negeri Marcelo Ebrard menyifatkan ia sebagai satu kemajuan kepada negara dalam mengekang wabak berkenaan.
Katanya, kakitangan perubatan dan warga emas akan menjadi barisan pertama diberi vaksin yang dijadualkan pada minggu ini.
"Benar, kita masih mengalami pandemik yang teruk ini, tetapi hari ini pengakhirannya bermula," kata Ebrard pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez pada Rabu.
Sementara itu, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata, vaksinasi akan dijalankan pada Khamis, bermula dengan petugas kesihatan di hospital-hospital di Mexico City dan bandar raya Saltillo.
Bekalan pertama hanya mengandungi 3,000 dos vaksin. Bekalan berikutnya akan tiba dengan 50,000 dos lagi.
Mexico dijangka menerima 1.4 juta dos vaksin Pfizer selewat-lewatnya 31 Jan, 2021.
Mexico setakat ini mencatatkan lebih 1.3 juta kes jangkitan COVID-19 dengan hampir 120,000 kematian.
#Pfizer-BioNTech #COVID-19 #Mexico #perubatan #warga emas #pesawat