Mexico sambut baik syarat pembukaan sempadan Amerika Syarikat
Astro Awani
Oktober 14, 2021 08:19 MYT
Oktober 14, 2021 08:19 MYT
MEXICO menyambut baik keputusan Amerika Syarikat untuk membuka semula sempadan daratnya bagi perjalanan bukan penting bulan depan.
Presiden Mexico, Andres Manuel López Obrador berkata pada Rabu, langkah itu akan mengakhiri pembekuan sempadan selama 19 bulan sejak pandemik melanda.
Dalam masa sama, Mexico menyambut baik persediaan Amerika Syarikat dalam melaksanakan keperluan vaksinasi kepada semua pengunjung antarabangsa.
"Beberapa mesyuarat diadakan bagi mencapai keputusan untuk membuka semula sempadan selain memberi suntikan kepada penduduk yang tinggal di kawasan sempadan," katanya.
Sementara itu, perjalanan kereta, feri dan kereta api antara Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico banyak dihadkan untuk perjalanan penting, seperti perdagangan dan perniagaan.
Terdahulu, Mexico dan Kanada menekan Amerika Syarikat untuk melonggarkan sekatan perjalanan yang telah memisahkan banyak keluarga dan membatasi perjalanan percutian sejak bermulanya COVID-19.