Mexico pilih Claudia Sheinbaum sebagai Presiden wanita pertama
Astro Awani
Jun 3, 2024 06:45 MYT
Jun 3, 2024 06:45 MYT
MEXICO CITY: Claudia Sheinbaum telah dipilih sebagai Presiden wanita pertama Mexico dengan kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang bersejarah.
Suruhanjaya Pilihan Raya Mexico berkata keputusan awal menunjukkan bekas Datuk Bandar Mexico City itu memperoleh antara 58 dan 60 peratus undi dalam pilihan raya yang diadakan pada Ahad lalu.
Ini memberikan pemimpin berusian 61 tahun itu kelebihan 30 mata peratusan ke atas pesaing utamanya, ahli perniagaan Xóchitl Gálvez.
Sheinbaum akan menggantikan mentornya, Presiden Andrés Manuel López Obrador pada 1 Oktober depan.
Bekas saintis tenaga itu telah menjanjikan kesinambungan kepada dasar Lopez Obrador selain meneruskan 'kemajuan' yang dimulakan beliau.
Ini termasuk meneruskan program kebajikan yang telah menjadikan Lopez Obrador sangat popular dalam kalangan rakyat.
Ucapannya turut menekankan pilihan raya ini sangat berbeza daripada yang diadakan sebelum ini.
"Buat pertama kali dalam 200 tahun, Mexico telah memilih seorang wanita sebagai Presiden," katanya.
Jelasnya, ini merupakan satu kejayaan bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk semua wanita.
"Saya telah menegaskan dari mula, ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk kita semua.
"Saya tidak akan mengecewakan kamu semua," katanya.
Sheinbaum turut mengucapkan terima kasih kepada pesaingnya Xóchitl Gálvez.