Mexico: Penjara diserang, jumlah kematian meningkat kepada 17 orang

Bernama
Januari 3, 2023 15:34 MYT
Selain kematian, 10 banduan dan tiga pegawai dilaporkan cedera manakala 27 banduan berjaya meloloskan diri dalam serangan itu.- REUTERS
MEXICO CITY: Jumlah kematian dalam insiden serangan di penjara Mexico di bandar Ciudad Juarez di utara Chihuahua kini meningkat kepada 17 orang termasuk 10 pengawal penjara, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya negeri pada Isnin.
Selain itu, 10 banduan dan tiga pegawai dilaporkan cedera manakala 27 banduan berjaya meloloskan diri, lapor Xinhua.
Serangan itu berlaku pada awal pagi Ahad selepas suspek bersenjata yang menaiki kenderaan berperisai melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan.
Menteri Pertahanan Luis Cresencio Sandoval berkata anggota keselamatan turut menemukan senjata, dadah dan lebih 1.7 juta peso (kira-kira AS$87,000) yang disimpan dalam peti besi di dalam sel di penjara berkenaan.
Penyerang itu merupakan ahli kumpulan dikenali Los Mexicles yang mempunyai kaitan dengan Kartel Caborca.
Antara banduan yang melarikan diri termasuk Ernesto Alfredo Pinon atau lebih dikenali sebagai "El Neto", kata Sandoval.
Penjara itu menempatkan 3,901 banduan.
-- BERNAMA
#Mexico #jumlah kematian #penjara Mexico #serangan
;