#MeToo: Monica Lewinsky bersuara selepas hampir 20 tahun

Agensi
Februari 27, 2018 05:17 MYT
Monica Lewinsky dalam artikelnya untuk majalah Vanity Fair menggambarkan hubungan sulitnya dengan Presiden Bill Clinton sebagai satu bentuk "pencabulan kuasa yang melampau" - Foto Reuters
HAMPIR 20 tahun selepas skandal seksnya dengan lelaki nombor satu White House diketahui umum, Monica Lewinsky, bekas pelatih akhirnya buka mulut.
Dalam satu artikel yang ditulis untuk majalah Vanity Fair, Lewinsky secara terbuka menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu pencabulan kuasa melampau oleh Presiden ketika itu, Bill Clinton.
Skandal kedua-duanya berlaku ketika Lewinsky berusia 22 tahun, dengan Clinton 27 tahun lebih tua darinya.
Artikel berkenaan ditulis khusus untuk gerakan #MeToo, inisiatif yang dimulakan bagi menyokong mangsa serangan seksual dan pencabulan di tempat kerja.
Lewinsky juga mendedahkan dia didiagnos dengan Sindrom Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD) selepas skandal terbabit.
Semuanya gara-gara tumpuan umum serta pendedahan mengenai hubungan sulit itu sama ada di media atau di dalam mahkamah.
Laporan media berkenaan hubungan itu mendominasi agenda berita di Amerika Syarikat pada 1998 dan 1999.
Clinton pada awalnya menafikan ada hubungan dengan Lewinsky namun kemudian mengaku mengadakan hubungan intim yang tidak sepatutnya dengan bekas pelatih itu.
Ia kemudian mengundang kepada prosiding pemecatan presiden, atas alasan Clinton menipu kepada penyiasat persekutuan.
Usaha itu bagaimanapun gagal dan Clinton kekal sebagai presiden sehingga 2002.
Pada satu sisi, Lewinsky bersyukur dengan perkembangan yang berlaku, susulan gerakan #MeToo, kerana wanita kini terbuka bercakap mengenai pencabulan dan serangan seksual ke atas mereka.
Berbanding apa yang dilalui Lewinsky, dia menyifatkan terpaksa berdepan rasa malu, serta melalui gangguan demi gangguan susulan pendedahan hubungan itu, secara bersendirian.
#Amerika Syarikat #Bill Clinton #hubungan sulit #mahkamah #Monica Lewinsky #presiden #seksual #serangan #White House
;