Meta tangguh pelancaran perisian kecerdasan buatan di Eropah
Bernama
Jun 15, 2024 15:50 MYT
Jun 15, 2024 15:50 MYT
SAN JOSE (Amerika Syarikat): Gergasi media sosial Meta menangguhkan pelancaran perisian kecerdasan buatan (AI) terbarunya di Eropah berikutan kebimbangan daripada agensi perlindungan data, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa perlindungan data Ireland yang bertanggungjawab ke atas Meta di EU menuntut syarikat itu agar tidak melatih model AI menggunakan hantaran yang tersedia secara umum di Facebook dan Instagram buat masa ini.
"Tanpa latihan menggunakan kandungan tempatan, Meta tidak dapat menawarkan pengalaman terbaik kepada pengguna di Eropah," menurut syarikat itu dalam catatan blog pada Jumaat.
Pada masa yang sama, Meta berkata ia yakin bahawa pendekatannya mematuhi undang-undang dan peraturan Eropah.
Meta tidak bersendirian dalam melatih kecerdasan buatan -- "dan kami lebih telus berbanding banyak rakan industri kami," kata syarikat itu.
Langkah itu menyusul berikutan kritikan bahawa Meta hanya menyediakan pilihan bagi orang ramai untuk menolak penggunaan data mereka tetapi tidak memberikan persetujuan pengguna yang jelas.
Aktivis perlindungan data dari organisasi noyb kemudian mengemukakan aduan di 11 negara minggu lalu, dan mengkritik apa yang mereka panggil sebagai prosedur 'memilih keluar' yang "tersembunyi dan mengelirukan".
Meta pada asalnya mendakwa bahawa terdapat "kepentingan sah" dalam melatih model AI dan hanya kandungan yang tersedia secara umum daripada pengguna dewasa sahaja yang harus digunakan untuk tujuan itu.
Pada Jumaat, pihak berkuasa perlindungan data Ireland menyambut baik keputusan Meta untuk menangguhkan rancangan mereka di Eropah.
Dengan perisian AI, Meta AI, syarikat itu bersaing dengan program lain seperti chatbot ChatGPT.
Meta AI direka untuk mencipta teks dan imej serta menjawab soalan pengguna. Kumpulan Facebook berulang kali menekankan dalam beberapa bulan kebelakangan ini bahawa kecerdasan buatan akan mengubah platform dengan ketara.
Pada masa yang sama, Meta berkata ia berhasrat untuk terus membawa fungsi AI ke Eropah.
-- BERNAMA