Meta rancang pecat 'beribu-ribu' pekerja - Laporan
Bernama
November 7, 2022 20:42 MYT
November 7, 2022 20:42 MYT
WASHINGTON: Konglomerat teknologi Amerika Syarikat (AS) Meta Platforms Inc (sebelum ini Facebook Inc) merancang mengurangkan bilangan pekerjanya secara besar-besaran minggu ini, lapor Sputnik memetik media AS.
Pemberhentian berskala besar ini mungkin merupakan pusingan pemecatan terbesar pekerja bidang teknologi yang menjejaskan ribuan orang, The Wall Street Journal pada Ahad memetik sumber tanpa menyatakan berapa ramai daripada 87,000 pekerja Meta bakal dipecat.
Menurut sumber pengumuman pemberhentian kerja dijangka dibuat pada Rabu dan pegawai syarikat telah memaklumkan pekerja Meta supaya membatalkan perjalanan tidak penting mulai minggu ini.
Pada Ahad The New York Times melaporkan pemberhentian dijangka bermula pada akhir minggu ini. Menurut akhbar itu Mark Zuckerberg ketua eksekutif Meta berkata syarikat itu akan menjadi lebih kecil menjelang akhir 2023.
Awal minggu ini usahawan jutawan AS Elon Musk yang baru-baru ini memperoleh Twitter berkata syarikat itu tidak mempunyai pilihan selain memecat pekerja kerana mengalami kerugian.
Lima pekerja dan bekas pekerjanya memfailkan saman terhadap syarikat media sosial itu pada Khamis kerana mendakwa syarikat gagal memberikan notis mencukupi semasa pemberhentian besar-besaran berikutan pengambilalihan Musk.
-- BERNAMA