Meta berdepan lebih banyak saman di Jepun berhubung iklan penipuan
Bernama
Oktober 23, 2024 16:24 MYT
Oktober 23, 2024 16:24 MYT
PEMILIK Facebook dan Instagram, Meta Platforms Inc, bakal berdepan lebih banyak saman baharu di Jepun berhubung iklan penipuan yang menggunakan sokongan palsu daripada selebriti terkenal, menurut peguam yang mewakili plaintif pada Rabu.
Ringkasan AI
- Meta Platforms Inc bakal berdepan lebih banyak saman di Jepun. Kira-kira 30 plaintif menuntut sekurang-kurangnya 300 juta yen (AS$2 juta) kerana gagal menghalang iklan penipuan yang menggunakan sokongan palsu daripada selebriti terkenal.
- Tuntutan ganti rugi akan difailkan di lima mahkamah daerah, termasuk Saitama, Chiba, dan Osaka. Antara selebriti yang namanya disalahgunakan ialah usahawan Jepun, Yusaku Maezawa.
- Plaintif berpendapat Meta perlu memastikan iklan tidak dibenarkan dipaparkan jika terdapat risiko penipuan yang boleh membahayakan pengguna. Meta sebelum ini berdepan saman serupa di Kobe.
Menurut Agensi Berita Kyodo, kira-kira 30 plaintif menuntut sekurang-kurangnya 300 juta yen (US$2 juta) daripada gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) dan cawangan Jepunnya, dengan mendakwa bahawa mereka gagal mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang penipuan itu.
Tuntutan ganti rugi akan difailkan di lima mahkamah daerah di seluruh Jepun, termasuk Saitama, Chiba, dan Osaka.
Antara selebriti yang namanya disalahgunakan dalam iklan palsu itu ialah usahawan Jepun, Yusaku Maezawa, pengasas peruncit fesyen dalam talian Zozo Inc., yang pernah mengembara ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada 2021 dengan kapal angkasa Rusia.
Menurut peguam, plaintif melihat iklan palsu berkenaan sebelum diminta untuk memindahkan wang ke akaun pelaburan yang ditetapkan.
Plaintif berpendapat bahawa Meta bertanggungjawab untuk menyiasat kandungan iklan yang disiarkan dan memastikan ia tidak dibenarkan dipaparkan di media sosial jika terdapat risiko penipuan yang boleh membahayakan pengguna.
Meta sebelum ini berdepan saman serupa yang difailkan pada awal tahun ini di Kobe oleh empat plaintif dan syarikat itu sedang berusaha untuk menolak tuntutan itu.
-- BERNAMA