Mesyuarat UNSC pada Jumaat bincang pelancaran kenderaan peninjau terkini Korea Utara

Bernama
Jun 2, 2023 22:07 MYT
Lana Nusseibeh berkata Majlis Keselamatan PBB diminta mengadakan mesyuarat itu berikutan percubaan Korea Utara melancarkan satelit peninjau tentera baru-baru ini. - Gambar KalimatFoundation
WASHINGTON: Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan berlangsung pada Jumaat bagi membincangkan mengenai percubaan Korea Utara yang gagal meletakkan satelit baharu peninjau tentera ke orbit, lapor Sputnik.
Menurut program kerja UNSC, mesyuarat itu ditetapkan pada 3 petang EDT (19:00 GMT).
Pada Khamis, Presiden UNSC Lana Nusseibeh berkata Majlis Keselamatan PBB diminta mengadakan mesyuarat itu berikutan percubaan Korea Utara melancarkan satelit peninjau tentera baru-baru ini.
Pada Rabu, Pyongyang gagal melancarkan satelit peninjau tentera Malligyong-1 yang dipasang pada roket pengangkut Chollima-1.
Selepas pemisahan peringkat pertama, enjin peringkat kedua gagal menyala menyebabkan roket itu hilang daya tujah dan jatuh ke Laut Kuning, kata agensi angkasa lepas Korea Utara.
Amerika Syarikat mengutuk sekeras-kerasnya percubaan pelancaran Korea Utara itu manakala Tokyo dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata pelancaran itu melanggar resolusi UNSC.
Pada Khamis Kim Yo Jong, adik perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, berkata "tiada siapa boleh menafikan hak kedaulatan DPRK (Republik Rakyat Demokratik Korea) untuk melancarkan satelit," dan berkata Pyongyang yakin satelit peninjau tentera baharunya akan "memulakan misinya di orbit angkasa tidak lama lagi."
-- BERNAMA
#UNSC #satelit baharu #orbit #roket pengangkut
;