Mesyuarat tergempar Liga Arab bincang isu Palestin
Astro Awani
Februari 9, 2021 09:32 MYT
Februari 9, 2021 09:32 MYT
MENTERI Luar negara-negara Arab mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan perkembangan terkini dalam isu Palestin.
Mesyuarat dipimpin Mesir itu bertujuan menghidupkan semula proses perdamaian yang tidak aktif.
Ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit menyatakan penyelesaian dua negara tetap menjadi satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan dalam konflik Israel-Palestin.
"Penyelesaian akhir hanya akan mempunyai satu hala iaitu penyelesaian dua negara, yang merupakan satu-satunya jalan dipersetujui oleh orang Arab dan seluruh dunia tetapi juga diterima oleh kebanyakan rakyat Palestin dan Israel.
“Tidak ada yang lain akan memenuhi keperluan Palestin untuk bernegara atau keperluan keselamatan Israel,” katanya.
Menteri Luar Negeri Palestin, Riyad al-Maliki dalam pada itu menyifatkan perbicaraan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai memberi sinar harapan.
"Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu didakwa oleh Mahkamah Israel kerana melakukan penipuan dan menerima.
“Ia sangat penting walaupun ini hanyalah permulaan perbicaraan tetapi dia meninggalkan geram dan marah serta ini membuatkan kita gembira malah memberi kita harapan bahawa penjenayah ini yang melakukan jenayah perang dan kemanusiaan akan didakwa,” katanya.
Warga Palestin mendakwa isu mereka semakin dipinggirkan semasa Amerika Syarikat di bawah bekas Presiden, Donald Trump.
Trump dikatakan lebih pro Israel berbanding beberapa presiden sebelumnya.
Bagaimanapun, Palestin menegaskan mereka sedia bekerjasama apabila White House kini diterajui Joe Biden.
Selama sepenggal mentadbir, Trump mengetepikan pihak berkuasa Palestin, mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan Amerika dari Tel Aviv.
Dasar Trump juga menghentikan bantuan untuk rakyat Palestin dan menyokong Israel membuat lebih banyak penempatan haram Yahudi di tanah milik Palestin.
Tindakan Trump itu mengakibatkan rundingan damai Israel-Palestin tidak digerakkan malah terbantut sejak sekian lama.
#Mesyuarat tergempar
#isu Palestin
#Israel-Palestin
#Ahmed Abul Gheit
#Riyad al-Maliki
#Joe Biden
#Benjamin Netanyahu