Mesyuarat pegawai kanan ASEAN Campur Tiga bincang kerjasama selanjutnya

Bernama
September 21, 2023 14:24 MYT
Delegasi Malaysia pada mesyuarat hari inidiketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (tengah). - Foto Bernama
DA NANG: Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Maklumat Campur Tiga (SOMRI+3) ke-7 pada Khamis dimulakan pada hari kedua Persidangan Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-16 dan mesyuarat berkaitan, di sini.
Sesi itu dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi bersama, Vietnam selaku Pengerusi SOMRI dan Korea Selatan sebagai Pengerusi Campur Tiga, yang mengalu-alukan delegasi ke mesyuarat itu dan mengharapkan kerjasama yang dapat membuahkan hasil serta kerjasama lebih erat melalui ASEAN Campur Tiga.
Mesyuarat itu, antara lain akan membincangkan perkara berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-25 yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja tahun lalu serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-26 yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 6 Sept lepas.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Turut serta dalam delegasi ialah Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (JaPen) Datuk E. Sivabalan, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin serta pegawai kanan lain daripada kementerian dan agensinya.
Sesi itu diikuti dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Campur Jepun yang Bertanggungjawab Mengenai Maklumat (SOMRI+J) ke-4, dipengerusikan bersama oleh Vietnam sebagai Pengerusi SOMRI dan Jepun.
Jepun pada mesyuarat itu berkata ASEAN sentiasa menjadi keutamaan negaranya dan ingin mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak termasuk dalam kandungan dan sistem penyiaran, terutamanya kerana tahun ini sempena ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama ASEAN-Jepun.
Sementara itu, Thailand selaku negara penyelaras bagi Jepun mengemaskinikan mesyuarat berkenaan status kerjasama yang lepas dan berterusan serta cadangan kerjasama masa depan antara kedua-dua pihak dalam bidang maklumat dan media.
Dokumen berkaitan mesyuarat peringkat SOMRI akan dibentangkan semasa berlangsungnya AMRI.
Mesyuarat SOMRI dua hari berakhir hari ini, dan AMRI akan bermula esok dengan kehadiran Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab mengenai maklumat.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.
Dengan tema 'Media: From Information to Knowledge for a Resilient and Responsive ASEAN', mesyuarat antara lain memfokuskan kepada usaha menangani salah maklumat dan membanteras berita palsu, bagi membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan dan responsif.
-- BERNAMA
#ASEAN campur Tiga #menteri berkaitan maklumat #Da Nang Thailand #Fahmi Fadzil
;