Mesyuarat OIC minggu depan bincang mengenai Palestin
Bernama
Mac 2, 2024 10:20 MYT
Mac 2, 2024 10:20 MYT
ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat berkata badan itu akan mengadakan mesyuarat luar biasa Majlis Menteri-menteri Luar pada 5 Mac untuk membincangkan pencerobohan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
OIC dalam satu kenyataan berkata sesi itu akan berlangsung di ibu pejabat di bandar Jeddah, Arab Saudi, lapor Agensi Anadolu (AA).
November lepas, OIC dan Liga Arab mengadakan sidang kemuncak bersama di Riyadh yang menerima pakai beberapa keputusan, termasuk menugaskan jawatankuasa untuk melawat ibu negara di seluruh dunia selain berusaha menghentikan perang Israel terhadap rakyat Palestin.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas membunuh lebih 30,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran, pemindahan penduduk serta kebuluran di wilayah Palestin yang terkepung itu.
-- BERNAMA