WELLINGTON : Fiji menyambut kedatatangan pertama pelancongnya selepas 600 hari pada Rabu selepas meneruskan pelan pembukaan pintu masuknya, meskipun berdepan ancaman varian Omicron, lapor AP.

Negara Pasifik yang terkenal dengan hamparan pantai berpasir putih dan layanan santai itu sangat bergantung kepada sektor pelancongan. Ekonomi Fiji adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik sehingga menguncup sehingga 19 peratus.

Keadaan itu memaksa kerajaan menawarkan bantuan termasuk dalam bentuk wang tunai kepada rakyatnya selain membimbing mereka menceburi bidang pertanian.

Dengan penerimaan semula pelancong, khususnya penerbangan pertama dari Sydney pada Rabu, mereka berharap ia membawa sinar baharu.

Lebih banyak pesawat akan mendarat dari Australia dan Amerika Syarikat tidak lama lagi.



Ketua Eksekutif Fiji Airways, Andre Viljoen berkata, dengan menghidupkan semula sektor pelancongan akan dapat memberi nyawa kepada ekonomi tempatan.

“Kami sangat berbesar hati dengan hari bersejarah ini. Kami telah menanti selama 20 bulan,” ujarnya.

Tambahnya, langkah pemeriksaan kesihatan dan keselamatan syarikat penerbangan telah direka untuk menangani potensi varian koronavirus. Itu termasuk menyaring varian Omicron dalam kalangan pelancong yng mempunyai sejarah perjalanan dari negara-negara berisiko tinggi.

Ketua Eksekutif Pelancongan Fiji, Brent Hill berkata, 75,000 pelancong telah menempah perjalanan ke negara itu untuk bulan-bulan akan datang. Tarikan ke negara pulau itu diperkuat dengan kempen pelancongan yang menggunakan kuasa aktres Australia, Rebel Wilson.

Fiji terkecuali dari ancaman virus sehingga April lalu, apabila penularan dikenal pasti akibat varian Delta. Penularan itu membunuh hampir 700 orang namun kini jangkitannya semakin melemah dengan hanya kira-kira lima jangkitan baharu sehari.

Kira-kira 64 peratus daripada populasi Fiji sudah lengkap divaksin dan 70 peratus sudah mengambil sekurang-kurangnya satu dos, menurut Our World in Data.
`