Mesir tutup semula pintu sempadan Rafah

Astro Awani
Julai 12, 2014 00:08 MYT
Mesir tutup semula pintu sempadan Rafah
Pihak berkuasa Palestin berkata Mesir sudah menutup semula pintu sempadan di Rafah selepas melonggarkan sekatan perjalanan itu hanya beberapa hari lalu ketika serangan rejim Zionis terus meningkat, lapor Press TV.
"(Kami) kesal dengan langkah yang diambil oleh Mesir ini," kata Iyad al-Bozum, jurucakap Kementerian Luar di Gaza pada Jumaat.
Katanya lagi, keputusan Mesir itu menunjukkan betapa ia tidak peduli dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Pihak berkuasa di Gaza telah menyiapkan ambulans dan bas untuk membawa mereka yang cedera keluar dari Gaza selepas negara jiran itu membuka sempadan di Rafah pada Rabu.
Serangan tentera Israel sejak Selasa lalu membunuh sekurang-kurangnya 130 orang dan menyebabkan kira-kira 1,000 yang lain cedera. Laporan dari Gaza menyebut satu pertiga mangsa adalah kanak-kanak dan wanita.
Israel yang digesa oleh dunia supaya menghentikan serangan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu berbuat demikian. Ia sebaliknya sudah mengerahkan lebih kurang 20,000 orang tentera simpanan ke sempadan bersiap sedia untuk serangan darat.
Pihak berkuasa Mesir menutup hampir sepenuhnya pintu sempadan dengan Gaza sejak bekas Presiden Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera pada Julai 2013 atas alasan keselamatan.
Pintu sempadan Gaza ditutup sejak Jun 2007 selepas Hamas menang pilihan raya setahun sebelumnya. Penutupan sempadan itu menambah kesempitan hidup lebih kurang 1.7 juta penduduk Palestin yang hidup bagai dalam penjara terbuka di Gaza.
#Gaza #Israel #Palestin
;