Mesir tekankan keperluan gencatan senjata segera di Gaza

Bernama
Ogos 15, 2024 18:29 MYT
Badr Abdelatty membuat kenyataan itu semasa panggilan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken untuk berunding dan menyelaras perkembangan penting di rantau itu. - Reuters
KAHERAH: Mesir menekankan keperluan dan keutamaan bagi mencapai gencatan senjata segera dan menyeluruh di Semenanjung Gaza serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan sepenuhnya ke kawasan itu.
Mesir menegaskan bahawa pendekatan itu adalah satu-satunya cara untuk menghentikan peningkatan ketegangan serantau dan membendung percubaan untuk meluaskan konflik, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Mesir juga menggariskan keperluan agar semua pihak terlibat secara positif dengan usaha pengantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) serta komited kepada rundingan gencatan senjata.
Menteri Luar Negeri, Imigresen, dan Ekspatriat Mesir, Badr Abdelatty membuat kenyataan ini semasa panggilan telefon dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Rabu untuk berunding dan menyelaras perkembangan penting di rantau itu.
Kedua-dua pihak menilai usaha berterusan untuk mengatasi peningkatan ketegangan di kawasan itu dan berusaha ke arah gencatan senjata di Gaza.
Panggilan telefon itu juga membincangkan usaha untuk menyelesaikan krisis di Sudan, terutamanya berkaitan dengan mesyuarat Geneva.
Dalam hal ini, Abdelatty mengulangi sokongan Mesir terhadap semua usaha yang bertujuan mencapai gencatan senjata di Sudan bagi menamatkan penderitaan rakyat Sudan dan melindungi nyawa serta harta mereka.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #Gaza #Palestin #Mesir #konflik
;