Mesir siap sedia buka semula sempadan Rafah untuk bantuan ke Gaza
Bernama
Januari 16, 2025 19:31 MYT
Januari 16, 2025 19:31 MYT
KUALA LUMPUR: Mesir sedang siap siaga untuk membuka semula Pintu Masuk Rafah bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza susulan laporan mengenai perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Sumber peringkat tinggi turut mendedahkan kesediaan Mesir untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan terbesar ke Semenanjung Gaza.
Sebagai respons kepada perkembangan tersebut, Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Nasr, mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata itu, dengan menyifatkannya sebagai langkah penting untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Beliau berkata Mesir bersedia dengan tangan terbuka untuk mempermudah penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui Pintu Masuk Rafah.
"Alhamdulillah, kami berjaya mencapai perjanjian demi kepentingan saudara-saudara kita di Palestin.
"Kami berharap dapat meneruskan sokongan kemanusiaan daripada Malaysia yang pemurah kepada Gaza melalui Pintu Masuk Rafah selepas ia dibuka semula," kata Nasr kepada Bernama pada Khamis.
Gencatan senjata yang dijadualkan bermula Ahad, diumumkan pada Rabu malam oleh Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman. Perjanjian itu diusahakan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS), bertujuan menghentikan konflik selama 15 bulan dengan tempoh gencatan awal selama 42 hari.
Pintu masuk Rafah ditutup untuk penghantaran bantuan sejak Mei 2024, apabila tentera Israel mengambil alih kawalan di bahagian Palestin, tindakan yang dianggap tidak sah oleh Mesir. Hal ini menyebabkan penghantaran bantuan Mesir ke Gaza melalui laluan itu dihentikan, menurut laporan media antarabangsa.
-- BERNAMA