Mesir serang militan IS di Libya susulan pendedahan video
AFP
Februari 16, 2015 16:09 MYT
Februari 16, 2015 16:09 MYT
Mesir melancarkan serangan udara terhadap sasaran kumpulan militan IS di Libya susulan pendedahan video yang memaparkan pemenggalan 21 penganut Kristian Koptik negara itu.
Serangan udara itu dilakukan beberapa jam selepas IS mendedahkan video ngeri yang mencetuskan kemarahan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.
Menurut kenyataan pihak tentera, serangan udara memfokus kepada kem, lokasi perhimpunan dan latihan, serta depot senjata IS.
Stesen televisyen negara itu menyiarkan rakaman beberapa jet pejuang Mesir yang berlepas untuk misi tersebut.
"Serangan udara mengenai sasaran dengan tepat, dan pasukan tentera udara kita selamat kembali ke pangkalan," kata kenyataan itu.