Mesir sedia terima pesakit Palestin melalui Lintasan Rafah

Astro Awani
Februari 3, 2025 08:00 MYT
Lintasan Rafah kini beroperasi dalam satu arah sahaja, membenarkan rakyat Palestin keluar dari Gaza. - Foto fail/AP
KAHERAH: Mesir bersedia menerima rakyat Palestin yang cedera atau sakit untuk mendapatkan rawatan perubatan melalui Lintasan Rafah, yang kembali beroperasi pada Sabtu, menurut pegawai negara itu.
Sejak Mei 2024, bahagian Palestin di lintasan tersebut dikawal oleh Israel, yang telah menyekat operasinya sehingga perjanjian gencatan senjata baru-baru ini.
Bermula Sabtu, Lintasan Rafah membenarkan rakyat Palestin keluar dari Gaza buat pertama kali dalam tempoh sembilan bulan, tetapi ketika ini hanya mereka yang cedera atau sakit dibenarkan keluar.
Pada hari pertama pembukaan semula, kira-kira 37 rakyat Palestin berjaya melintas, bersama lapan tahanan yang dibebaskan oleh Israel sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan pada hari yang sama.
Pemantau antarabangsa telah tiba di bahagian Palestin di lintasan itu sebelum pembukaannya bagi memantau proses tersebut.
Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer, berkata Mesir bersedia menampung rakyat Palestin yang memerlukan bantuan.
"Bahagian Mesir telah bersedia 100 peratus, tetapi bahagian Palestin mengalami banyak kerosakan dan perlu dibina semula.
"Saya fikir dalam beberapa hari lagi ia akan selesai dan bersedia sepenuhnya. Terdapat beberapa wakil pihak berkuasa Palestin yang disertai pegawai EU untuk mengawal bahagian Palestin," katanya.
Lintasan Rafah kini beroperasi dalam satu arah sahaja, membenarkan rakyat Palestin keluar dari Gaza.
Buat masa ini, ia hanya dibuka kepada mereka yang mengalami keadaan kesihatan kritikal atau cedera parah dan memerlukan rawatan perubatan lanjutan.
Rakyat palestin yang melarikan diri dari gaza semasa konflik masih belum dibenarkan kembali ke wilayah tersebut melalui lintasan ini.
Kumpulan pertama rakyat Palestin yang tiba di Mesir akan menerima rawatan di hospital di Sinai Utara.
Seiring dengan perkembangan perjanjian gencatan senjata, Mesir kini memberi tumpuan kepada masa depan krisis Palestin.
Lintasan Rafah menjadi pintu masuk utama bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh Mesir, negara lain dan organisasi antarabangsa kepada Gaza yang dilanda perang.
#lintasan Rafah #Gaza #rawatan perubatan #gencatan senjata
;