Mesir, rakan usaha dapatkan gencatan senjata di Gaza

Bernama
April 20, 2024 11:45 MYT
Antara kemusnahan dalam skala amat besar yang berlaku di Gaza akibat kekejaman Israel. - Gambar/ Reuters
JOHANNESBURG: Mesir sedang berusaha mendapatkan satu gencatan senjata di Semenanjung Gaza dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan Qatar, kata Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry pada Jumaat.
"Kedua-dua Hamas dan Israel perlu menunjukkan kemahuan politik, kebertanggungjawaban untuk mencapai satu gencatan senjata dan melindungi orang awam,” lapor Agensi Anadolu yang memetik Shoukry yang memberitahu stesen penyiaran kerajaan SABC di Pretoria selepas perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Afrika Selatan Naledi Pandor.
Mesir, Qatar dan AS sedang merundingkan satu gencatan senjata dan menghentikan serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas.
"Penting untuk meneruskan fokus ke atas kehidupan dan keselamatan rakyat Palestin. Lebih 33,000, orang maut dengan 20,000 daripadanya wanita dan kanak-kanak. Ia sangat dahsyat dan perlu dihentikan. Kami perlu mencapai gencatan senjata dan mengembalikan tawanan,” katanya.
Shoukry berkata, terdapat keperluan untuk membekalkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dan perpindahan penduduk secara paksa merupakan satu jenayah perang.
"Kita mesti mendapatkan kembali keselamatan dan keamanan serta ruang lingkup politik untuk mendapatkan hak rakyat Palestin dan mewujudkan sebuah negara untuk mereka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” kata Shoukry. - Bernama/Anadolu
#Mesir #Gaza #nasib palestin #gencatan senjata
;