Mesir mahukan IMF sambung semula rundingan
Astro Awani
Januari 14, 2013 11:19 MYT
Januari 14, 2013 11:19 MYT
Mesir berharap Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dapat menyambung semula rundingan untuk menyalur segera dana bantuan US$4.8 billion (RM14.3 bilion) ke negara itu.
Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil berkata, Kaherah telah pun bersetuju untuk mengadakan program kewangan dan pertumbuhan fiskal dalam negara sebagai sebahagian rundingannya dengan IMF.
Secara dasarnya pinjaman ke atas negara itu diluluskan pada November lalu.
Bagaimanapun, kemelut yang berlaku di negara itu memaksa kerajaan menangguhkan sementara rancangan penyelamatan ekonominya.
Bagi tujuan berkenaan, ia mempelawa wakil IMF memperbetulkan semula program supaya ianya boleh menangani defisit bajet untuk mengatasi masalah fiskal supaya ianya selari dengan pertumbuhan ekonomi.
Dalam kenyataannya, badan kewangan antarabangsa itu memaklumkan akan menghantar wakilnya ke Mesir dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Kaherah turut bercadang menganjurkan forum ekonomi antarabangsa bagi menonjolkan pelan pelaburannya dan pada masa sama menarik pelaburan swasta.
Ketidaktentuan politik kebelakangan ini menyebabkan nilai pound negara itu merudum.