Mesir lulus undang-undang lindungi identiti mangsa jenayah seksual

Astro Awani
Ogos 19, 2020 08:06 MYT
Ada mangsa yang takut reputasi mereka terjejas apabila disebut terbabit dalam jenayah seksual, bagaimanapun kerajaan Mesir tetap mendorong rakyat untuk melaporkannya. - Gambar hiasan
PARLIMEN Mesir pada Selasa meluluskan undang-undang melindungi identiti mangsa serangan dan gangguan seksual bertujuan mendorong wanita yang bimbang akan stigma sosial, untuk melaporkan jenayah tersebut.
Langkah itu diusulkan kerajaan selepas satu debat umum berpanjangan yang jarang terjadi, disusuli kempen media sosial, yang menyebabkan penangkapan seorang suspek jenayah seks.
Peruntukan baharu yang ditambah ke Undang-Undang Prosedur Jenayah akan melarang pihak penyiasatan mendedahkan maklumat tentang mangsa jenayah itu, kecuali kepada peguamnya.
Perundangan itu akan berkuat kuasa setelah diluluskan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.
Menteri Kehakiman Omar Marwan dalam ucapan di Parlimen berkata, pihaknya melihat terdapat keengganan untuk melaporkan jenayah tertentu.
Katanya, ada mangsa yang takut reputasi mereka terjejas apabila disebut terbabit dalam jenayah itu, tetapi kerajaan mendorong rakyat untuk melaporkannya.
Bulan lalu, seorang pelajar universiti, Ahmed Bassam Zaki didakwa atas pertuduhan serangan seksual terhadap tiga wanita.
Suspek, yang ditahan sementara menunggu siasatan lanjut, menjadi sasaran kempen di Instagram yang dimuat naik wanita yang menuduhnya melakukan jenayah tersebut.
Kes berkenaan menarik perhatian ramai termasuk dari kalangan pihak media, tokoh agama dan kumpulan wanita.
#debat #debat umum #Instagram #jenayah #jenayah seks #jenayah seksual #kerajaan #laporan #mangsa #media sosial #Mesir #Omar Marwan #Parlimen #pelajar #peruntukan #seks #serangan #siasatan #suspek #tangkap #undang-undang #wanita
;