Mesir lanjut darurat tiga bulan lagi

Bernama
April 28, 2020 07:24 MYT
Dalam dekri presiden, al-Sisi (gambar) berkata aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan "berbahaya". - Gambar fail
Presiden Abdel-Fattah al-Sisi melanjutkan darurat di seluruh negara selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita Anadolu memetik warta rasmi negara itu.
Dalam dekri presiden, al-Sisi berkata aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan "berbahaya".
Darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar.
Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang. Jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.
Bulan lalu, Kaherah mengenakan perintah berkurung pada waktu malam bersama dengan langkah-langkah pencegahan lain.
Memandangkan beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan sempena Ramadan, Mesir yang mempunyai hampir 100 juta penduduk, turut mengambil pendekatan sama membenarkan pusat beli-belah dan kedai dibuka setiap hari.
Perintah berkurung bermula 9 malam berbanding sebelum ini 8 malam, sehingga 6 pagi.
Sekolah, universiti, masjid dan kawasan pelancongan masih ditutup.
-- BERNAMA
#Abdel-Fattah al-Sisi #bahaya #COVID-19 #darurat #dekri presiden #jangkitan #Kaherah #keganasan #kelonggaran #keselamatan #kesihatan #koronavirus #langkah pencegahan #Mesir #pelancongan #perintah berkurung #pesakit #pusat beli-belah #Ramadan #sekatan #Sembuh
;